NEW YORK – Switzerland dinobatkan sebagai negara paling bahagia di
dunia sebelum ikuti rapat oleh Iceland, Denmark, Norway serta Kanada,
demikian menurut satu kajian komprehensif oleh sepasukan ahli akademik
di sini kelmarin.
Laporan Kebahagiaan Dunia 2015 merupakan laporan tahunan ketiga untuk
mengukur dan memberi penjelasan mengenai tahap kebahagiaan di 158 buah
negara bagi mempengaruhi dasar kerajaan di serata dunia.
Finland, Belanda, Sweden, New Zealand dan Australia berada kedudukan
10 teratas senarai itu sekali gus menjadikan negara bersaiz kecil dan
sederhana di rantau Eropah Barat menduduki tujuh daripada 10 tangga
teratas.
Amerika Syarikat pula berada pada kedudukan ke-15 selepas Israel dan
Mexico, manakala Britain menduduki tangga ke-21 mengatasi Belgium dan
Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Perancis berada di tangga ke-29 selepas
Jerman yang menduduki tempat ke-26.
Menurut kajian tersebut, antara kriteria yang diambil kira untuk
menentukan paras kebahagiaan sesebuah negara termasuk Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK), tahap kesihatan, jumlah penduduk, kebebasan membuat
pilihan hidup dan kadar rasuah.
Sementara itu, Afghanistan dan Syria yang dilanda peperangan
menyertai lapan negara rantau Sahara di Afrika termasuk Togo, Burundi,
Benin dan Rwanda dalam kategori 10 negara paling kurang bahagia.
Walaupun Iraq kini kacau bilau, negara itu berada di kedudukan ke-112
untuk mendahului Afrika Selatan, India, Kenya dan Bulgaria dalam
senarai sama.
“Laporan ini memberi maklumat tentang kaedah untuk mencapai
kesejahteraan masyarakat,” ujar Pengarah Institut Bumi Universiti
Columbia, Jeffrey Sachs – AFP