Syed Hafiz Dedah Sikap Pemborong Kawal Harga Barang Di Kedah

ALOR SETAR - Skuad Pengguna 1Malaysia Parlimen Alor Setar mendakwa kebanyakan pemborong di pusat bandar cuba menaikkan harga barang antara 10 hingga 20 peratus dari harga asal.

Pengerusinya, Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa berkata, kenaikan harga barang itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan hanya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai esok (1 April).

“Kita sudah buat pemantauan di beberapa pasar basah sekitar pusat bandar dan mendapati harga sayur dan keperluan lain dinaikkan.

“Kita percaya kenaikan itu bukan disebabkan oleh peruncit, tetapi pemborong yang didapati mula mengawal harga sesuatu barang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kawalan harga oleh pemborong memberi tekanan kepada peruncit yang terpaksa menaikkan harga lebih tinggi.

“Skuad Pengguna bersama Persatuan Pengguna Kedah (Cake) akan buat pemantauan secara berterusan.

“Kita merekodkan harga barang di beberapa tempat dan akan buat perbandingan selepas pelaksanaan GST,” katanya.

Beliau berkata, setiap maklumat akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

“Dalam isu ini, kita minta pemborong membantu rakyat dan bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Bagaimanapun, rakyat masih mempunyai kuasa menentukan sama ada akan membeli atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, seramai 87 ahli Skuad Pengguna 1Malaysia Parlimen Alor Setar akan bergerak memantau harga barang di setiap pasaraya, runcit dan pasar basah mulai esok.

“Kita bergerak secara sukarela dan tidak memakai uniform. Kita akan merekodkan setiap barang yang didapati berlaku kenaikan sebelum dan selepas GST,” katanya. -Sinar Harian