Tabung Haji Bayar Zakat RM5.63 Juta

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail (kiri) menyerahkan replika cek zakat kepada Pengerusi Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Che Mat Ali (dua kanan) di sini hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2014 berjumlah RM5.63 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Penyerahan zakat dalam bentuk cek itu disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Tan Sri Ismee Ismail kepada Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Che Mat Ali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyaksikan majlis penyerahan zakat itu yang diadakan di pejabatnya di sini.

Kenyataan TH menyebut, pembayaran zakat bagi Wilayah Persekutuan tahun lepas mencatat peningkatan sebanyak 11.6 peratus atau RM584,480, berbanding RM5.04 juta pada 2013.

Sementara itu, jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2014 yang akan dibayar kepada pusat-pusat pungutan zakat di seluruh negara adalah berjumlah RM49.87 juta.

Selain pembayaran kepada pusat-pusat zakat, TH turut mengagihkan zakat organisasi itu secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program tanggungjawab sosial korporat. – BERNAMA