Takut Dengan Hari Tua Yang Bakal Menjelma?


MENJELANG tahun 2035 atau 20 tahun dari sekarang, Malaysia akan menjadi sebuah negara tua. Ini kerana pada tahun itu terdapat lebih kurang 15% rakyat yang akan berusia atau mencapai usia antara 60 hingga 65 tahun dan ke atas. Ini bermakna rakyat yang pada ketika ini berusia dalam lingkungan 40an adalah calon yang bakal memenuhi kuota warga tua atau warga emas pada ketika itu.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meletakkan angka sebanyak 15% daripada jumlah keseluruhan penduduk sebagai penanda aras bagi menentukan kategori negara tua bagi sesebuah masyarakat dunia.

Individu yang telah mencapai peringkat tua boleh digambarkan dari pelbagai aspek ketuaan. Selain cerminan usia tua yang mencapai status warga emas, tua turut tercerna dari segi rupa paras fizikal, di samping fungsi mental dan kognitif serta peranan sosio emosi.

Jika ditinjau dari sudut fizikal dan tahap kesihatan, sememangnya ketuaan itu berkaitan dengan kelemahan fungsi tubuh badan seperti kelemahan sistem imun, sel saraf dan otot. Pada masa sama, kelemahan tubuh badan ini berkait rapat pula dengan pelbagai penyakit yang datang seiring dengan kelemahan tersebut. Adakah perkara ini merupakan satu masalah?

Islam melihat tua dan ketuaan bukanlah satu masalah atau bebanan. Ini adalah satu proses dan proses itu hanya perlu diuruskan sebaiknya agar matlamat akhir daripada proses ketuaan itu dapat dicapai dengan jayanya.

Setiap satu dari semua fasa dalam proses kehidupan dan perkembangan individu mempunyai matlamat tersendiri, baik fasa bayi dalam kandungan atau fasa bayi selepas kelahiran, fasa kanak-kanak, remaja dan dewasa, dan akhirnya tua. Setiap fasa memiliki proses dan objektif tersendiri yang perlu dilalui dan dicapai.

Sebenarnya, apakah matlamat yang ingin diperoleh dari proses penuaan itu? Walaupun pada ­umumnya perkara ini tidak pernah dibincangkan se­cara khusus dan serius, namun amat tidak wajar sama sekali untuk diabaikan. Ini kerana masyarakat sekarang mampu melihat dan berfikir secara kreatif dan inovatif dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Kita perlu bersama mereka kerana kita sendiri tidak mahu ke­tinggalan. Oleh itu, kita perlu bersedia.

Apakah persediaan yang perlu dilakukan dalam menghadapi hari tua kelak? Perkara ini perlu difikirkan oleh setiap individu kerana mereka adalah bakal individu yang akan mengisi kuota masyarakat berusia emas kelak.

Dalam konteks ini, maqasid syariah boleh dijadikan pengukur untuk menilai matlamat dalam proses penuaan. Melihat penuaan itu dari segi proses dan objektifnya agar menurut kehendak maqasid syariah mungkin ditafsir sebagai sesuatu yang baharu dan belum pernah dibincangkan sebelum ini.

Namun hakikatnya, Islam amat inginkan agar penganutnya mampu menjalani kehidupan pada hari tua secara yang lebih baik dan produktif. Untuk menjalani kehidupan di hari tua secara lebih produktif dan positif memerlukan persediaan. Apakah persediaan itu?

Dalam konteks maqasid, persediaan itu perlu dinilai dari sudut keperluan fitrah kejadian manusia meliputi aspek fizikal dan material, emosi dan mental serta sosial dan spiritual yang perlu dilaksanakan menurut ketetapan dan tuntutan syariat.


Matlamat maqasid adalah meningkatkan kemaslahatan dalam kehidupan manusia dan pada masa sama berusaha menghindarkan isu yang boleh mendatangkan kerosakan dan pemusnahan kepada mereka.

Tuntutan maqasid syariah adalah memelihara kemaslahatan kehidupan manusia dari segi mendatangkan kebaikan dan manfaat untuk agama, jiwa, akal, keturunan dan harta, serta berdasarkan kepada tahap keperluan, sama ada dharuriyyat, hajiyyat atau tahsiniyyat. Sementara itu, objektif dalam proses penuaan adalah membantu individu warga emas agar dapat menjalani kehidupan di usia emas secara lebih bermanfaat, positif dan produktif.

Walaupun usia emas dilihat sebagai fasa yang penuh dengan keuzuran, namun bukan sesuatu yang mustahil bagi setiap individu untuk menjalani fasa kehidupan ini dengan positif, produktif dan aktif serta sihat. Adalah menjadi hak mereka untuk hidup sihat dan menerima penjagaan dan rawatan kesihatan yang sempurna dan baik seperti orang muda lain.

Penjagaan kesihatan diri ini juga adalah tuntutan dalam maqasid syariah kerana usaha untuk memelihara kemaslahatan diri dan nyawa dan bukanlah mustahil untuk dicapai, sekalipun pada peringkat penghujung kehidupan.

Untuk menghadapi fasa penuaan secara lebih sihat, seseorang individu perlu lebih bersedia dengan mengamalkan pelbagai aktiviti gaya hidup sihat, bukan bergelumang dengan pelbagai gejala yang merosak dan memusnahkan.

Namun pada pandangan Islam, proses persediaan me­nuju fasa penuaan itu sebenarnya bermula sejak awal kehidupan individu, bermula dari dalam kandungan ibu dan tidak berakhir dengan keluarnya roh dari jasad. Itulah tempoh di mana persediaan perlu diambil kira dan persediaan itu bermula dengan diri sendiri serta perlu juga menyediakan orang lain dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar mereka bersedia berdasarkan kepada kemampuan untuk menyediakan keperluan kita kelak semampunya.

Sesuai dalam konteks persediaan ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

*Khairul Azhar Idris, penulis ialah Fellow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)/Utusan