Tarif Air Naik 16.7%, Guan Eng Mahu Rakyat Kurang Guna Air

GEORGETOWN – Langkah kerajaan DAP Pulau Pinang menaikkan tarif air sebanyak 16.7 peratus mulai 1 April lepas diharap dapat mengurangkan penggunaan air, kata Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak untuk mengelak berlakunya catuan air di negeri ini.

“Kita naik (tarif air) sebab kita harap pengguna dapat mengurangkan penggunaan air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2015 di Empangan Air Itam, di sini hari ini.

Pada 19 Mac lepas, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan tarif baharu air dengan kenaikan sebanyak 16.7 peratus berkuatkuasa 1 April.

Pengurus Besarnya, Jaseni Maidinsi berkata objektif utama semakan tarif airvialah bagi memudahkan pengurusan air yang lebih baik dengan mengurangkan penggunaan air bagi mengelakkan catuan.

PBAPP sebelum ini mengumumkan kenaikan surcaj pemuliharaan air (WCS) daripada 24 sen kepada 48 sen setiap 1,000 liter bagi penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan berkuatkuasa 1 Sept 2013. – BERNAMA