Tarikh Akhir Rayuan BR1M Dilanjutkan 15 April 2015, Harap Maklum

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melanjutkan tarikh akhir tempoh rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 kepada 15 April ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memberitahu, lanjutan tarikh akhir itu bagi memberi peluang kepada pemohon-pemohon yang gagal mengemukakan rayuan.

“Permohonan rayuan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat.

“Terdahulu, tarikh akhir tempoh rayuan BR1M 2015 adalah pada 31 Mac 2015,” kata kenyataan itu hari ini.

Kementerian Kewangan dalam pada itu memaklumkan kerajaan turut bersetuju pembayaran peringkat kedua BR1M 2015 bermula 28 Mei 2015.

Kata kenyataan itu, sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau emel kepada br1m@treasury.gov.my.

Kementerian Kewangan turut memaklumkan hampir 7.28 juta penerima telah mendapat manfaat dariapda BR1M 2015.

Menurut kenyataan itu, seramai 4.17 juta merupakan penerima kategori isi rumah di bawah pendapatan RM3,000 dan 410,000 penerima kategori isi rumah berpendapatan di antara RM3,001 – RM4,000.

“Manakala penerima bagi kategori individu bujang adalah seramai 2.7 juta penerima. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 bilion bagi menjayakan program BR1M ini,” kata kenyataan itu.- Kedahnews.com