Anggota Bomba dan Penyelamat Sibu cuba memadamkan kebakaran sebuah kuarters pekerja di sebuah bangunan di Jalan Kampung Nyabor di sini, Rabu. |
SIBU – Akibat tidak tahan dengan tekanan kerja sebagai tukang urut,
seorang wanita Vietnam dipercayai telah memulakan kebakaran yang
memusnahkan kuarters pekerja yang diduduki bersama rakan-rakannya, Rabu.
Wanita berusia 25 tahun itu dikatakan mengurung dirinya di dalam
bilik tidur di kuarters yang terletak di tingkat lima sebuah bangunan
kedai di Jalan Kampung Nyabor di sini.
Kebakaran pukul 11 pagi itu disedari oleh dua lagi wanita Vietnam setelah mereka terlihat asap keluar dari bilik tersebut.
“Kedua-dua wanita tersebut cuba membuka pintu bilik itu namun gagal
dan setelah beberapa ketika wanita itu secara tiba-tiba keluar dari
bilik dan melarikan diri,” kata Ketua Polis Sibu Asisten Komisioner Mohd
Kamal Kordi ketika dihubungi Bernama.
Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati kedua-dua wanita itu
ada terlihat pemetik api di tangan wanita terbabit semasa dia sedang
berlari keluar dari biliknya.
Katanya, kedua-dua wanita yang percaya rakan mereka itu telah
memulakan kebakaran dengan membakar bantal dan cuba memadamkan api
tetapi gagal.
Susulan daripada kejadian itu, sepasukan polis telah berjaya menahan
suspek pada pukul 12.40 tengah hari di hadapan sebuah hotel yang
terletak di belakang bangunan tersebut.
“Majikan dan rakan suspek percaya dia ada mengalami masalah mental
dan selalu minta balik ke negara asal,” katanya sambil menambah suspek
akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana
melakukan khianat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, Abdul Mutalif
Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran sekitar jam 11.36
pagi dan menghantar dua jentera ke tempat kejadian dengan 14 anggota.
Mereka yang dibantu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah berjaya dikawal pada jam 12.11 tengah hari.
Lima wanita warga Vietnam dan dua wanita China tinggal di kuarters tersebut.- BERNAMA