Terima Kasih Abang Posmen Sampai Sanggup Naik Sampan...


ALOR SETAR – Walaupun terdapat banyak kawasan di beberapa negeri yang terjejas teruk akibat bencana banjir tahun lalu, namun ia tidak pernah menghalang "abang-abang" posmen daripada menunaikan tanggungjawab mengutip dan menghantar surat kepada masyarakat di kawasan terbabit.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim memberitahu, terdapat ramai yang posmen sanggup meredah banjir dengan mengunakan sampan untuk melaksanakan tugas mengutip dan menghantar surat di kawasan dinaiki air demi tanggungjawab mereka.

“Beberapa premis kami di seluruh kawasan turut terjejas dinaiki air manakala sebahagian cawangan termasuk pos mini lumpuh dan gagal beroperasi.

“Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang posmen untuk melaksanakan tugas mengutip dan menghantar surat, walaupun mereka terpaksa mengayuh sampan untuk menunaikan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

mynewshub.cc
GAMBAR HIASAN
Azlan dalam pada itu turut berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) kerana menghulurkan bantuan kepada pengusaha pos mini yang hilang punca pendapatan akibat banjir.

Katanya, pembinaan semula cawangan pos mini ini terlibat membolehkan orang awam dapat kembali menikmati perkhidmatan pos seperti sediakala.

“Sumbangan yang dihulurkan kepada pengusaha juga akan sedikit sebanyak membantu mereka didalam memulakan semula kehidupan baru," kata Azlan lagi.

Pos mini mula ditubuhkan sejak era Jabatan Perkhidmatan Pos yang bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pos asas bagi rakyat yang tinggal di lokasi luar bandar dan kurang mendapat capaian perkhidmatan. -Kedahnews.com