Tetap Bertanding Di #PRKRompin, PAS Tidak Anggap UMNO Sahabat - Tuan Ibrahim

Di pihak UMNO sebelum ini, terdapat suara menyarankan agar PAS tidak meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei depan bagi menghormati kematian Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Namun, pandangan tersebut ditolak mentah-mentah pemimpin PAS apabila mengumumkan parti berkenaan tetap akan bertanding di PRK tersebut.

Menurut Naib Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, alasan yang digunakan MB Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob agar PAS melakukan tindakan yang dilakukan UMNO pada PRK Dun Chempaka, Kelantan lalu, tidak boleh diterima langsung.

Tuan Man dipetik berkata kepada portal The Malaysian Insider, “Memberi laluan percuma kepada PAS di PRK Chempaka bukanlah menandakan Umno sudah mengganggap PAS sebagai sahabat.”

Tambah beliau, Barisan Nasional tidak menganggap PAS sebagai ‘sahabat’ dan ia terbukti berdasarkan keputusan Putrajaya terhadap royalti minyak kepada negeri Kelantan dan pembinaan lebuh raya.

Beliau turut mempersoalkan kesanggupan BN tidak meletakkan calon pada PRK Permatang Pauh dan memberikan kemenangan mudah kepada PKR.

“Jika PAS memberi laluan mudah kepada BN adakah ia bererti UMNO akan memberikan kemenangan percuma kepada PKR di Permatang Pauh atas alasan yang sama?” soalnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga berpendapat bahawa saingan pelbagai parti di Rompin bakal memberikan kelebihan kepada penduduk kawasan tersebut.

“Rakyat Rompin memerlukan perhatian.

“PRK Rompin ini menjadi medan terbaik untuk suara dan keluhan rakyat terutamanya mengenai kelemahan kerajaan negeri dan pengabaian pembangunan di Rompin khasnya bagi masyarakat orang asal didengar di media,” katanya. -Kedahnews.com