Thailand Tarik Balik Penguatkuasaan Undang-Undang Tentera

Sebuah jip tentera yang dilengkapi dengan mesingan dihantar bagi menyuraikan penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa di Bangkok pada 1 Jun 2014. Foto: AFP
BANGKOK – Thailand malam tadi mengumumkan penarikan balik undang-undang tentera yang dilaksanakan sejak Mei tahun lalu.

Perkara ini diumumkan menerusi saluran televisyen tempatan dan turut disiarkan dalam laman web Royal Gazette.

Raja Bhumibol Adulyadej memperkenan penarikan balik undang-undang itu yang dikenakan selepas rampasan kuasa tentera pada 22 Mei.

Undang-undang itu digantikan dengan peruntukan Artikel 44 Piagam Sementara yang memberi kuasa kepada Majlis Keselamatan Negara bagi Keamanan dan Perintah (NCPO) untuk mengeluar sebarang perintah atau arahan tanpa mengambil kira sama ada ia boleh mendatangkan kesan kepada perundangan, eksekutif dan kehakiman atau tidak.

NCPO kini diketuai Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-Ocha. – BERNAMA