KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong menolak
dakwaan pihak tertentu bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) menyebabkan peniaga kecil akan gulung tikar.
Chua berkata, sebaliknya ketiadaan waris untuk meneruskan perniagaan
serta kegagalan bersaing dengan pasar raya besar dan kedai francais
menjadi punca peniaga kecil terlibat menutup perniagaan mereka.
“Kita telah mengadakan pertemuan dengan persatuan kedai runcit bagi
mengenal pasti masalah mereka dan kita dapati bukan GST sahaja yang
menjadi punca mereka mahu menutup perniagaan,” katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang mendakwa
terdapat peniaga kedai runcit di Pulau Pinang terpaksa menutup
perniagaan mereka kerana tidak mampu berdepan cabaran pelaksanaan GST,
antaranya kenaikan sewa premis yang juga dikenakan GST.
Sementara itu, Chua berkata, peniaga dan orang awam dijangka
mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk menyesuaikan diri dengan
cukai baharu itu.
Katanya, masalah penyesuaian terhadap GST pasti dihadapi di mana-mana negara yang melaksanakan cukai baharu itu.
GST yang menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan
dilaksanakan di seluruh negara bermula esok pada kadar enam peratus. –
BERNAMA