"Tiap Kali Marah Kena Letak Jawatan, Bila Nak Selesai", Tun M Dibidas

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Negeri Kedah hari ini membidas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mendesak Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku memandangkan Tun Mahathir mempunyai pengalaman sebagai seorang ketua kerajaan sebelum ini.

Mahdzir berkata, sebagai seorang ahli parlimen sokongan kepada Perdana Menteri tidak perlu dipertikaikan lagi kerana percaya segala perlaksanaan Najib bertujuan membangunkan negara.

Beliau menyifatkan desakan Tun Mahathir kepada Najib lebih kepada cubaan untuk menjatuhkan Perdana Menteri sebagaimana dilakukan ketika zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Apabila beliau (Najib) menjawat jawatan tersebut sudah pasti niat dan hasratnya mahu melihat pembangunan negara dan yang paling penting sudah pasti kejayaan dari segi pendidikan dan sebagainya… kerana kalau kita tengok beliau hanya menyambung legasi kepimpinan Perdana Menteri terdahulu.

"Jadi Tun M seharusnya memberikan kepercayaan dan sokongan kepada Datuk Seri Najib, kerana semasa menjawat jawatan PM selama 22 tahun, kepimpinan Umno telah memberikan sokongan yang padu kepada beliau sehingga dapat melaksanakan dasar kerajaan.

"Beliau pernah mendesak Tun Abdullah hingga memaksanya untuk pergi (berundur) atas sebab itu Tun Mahathir seharusnya meletakkan kepercayaan bahawa Datuk Seri Najib mampu memimpin negara… tiap kali marah kena letak jawatan, bila nak selesai" katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut turut disokong oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Wira Othman Abdul yang melihat kritikan Tun Mahathir bukan ke arah membina tetapi bersifat menjatuhkan kepimpinan Najib.

Othman berkata, apa yang cuba disuarakan Tun Mahathir tidak menjadi kesalahan jika kritikan terbabit lebih terarah kepada pandangan daripada seorang bekas pemimpin.

Namun, beliau berharap Najib tidak akan berasa tertekan dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu kerana seluruh wakil rakyat Barisan Nasional(BN) sentiasa berdiri teguh dibelakangnya dalam meneruskan urusan pentadbiran kerajaan ketika ini.

“Pandangan Tun itu boleh menyebabkan salah faham masyarakat maka saya harap Tun berhenti memberikan komen-komen yang boleh menjejaskan peluang UMNO untuk menghadapi pilihanraya umum ke-14.

“Tidak perlu untuk Tun meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan kerana beliau mendapat sokongan yang kuat daripada kepimpinan UMNO di bahagian-bahagian dan Barisan Nasional.
  
“Serangan-serangan bersifat peribadi itu tidak patut kerana Datuk Seri Najib telahpun bersumpah laknat di dalam masjid di Permatang Pauh semata-mata untuk menyatakan kebenaran malah kes tersebut telah diputuskan oleh mahkamah," ujar beliau. -Kedahnews.com/ Mohd Shahir Shukor