Tidak Cukup "Mengigit" Kerajaan Seperti Pembangkang, MP DAP Mahu Anggota Suhakam Letak Jawatan

Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng meminta semua ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meletakkan jawatan serta merta bagi memberi tekanan kepada kerajaan.

Beliau membuat permintaan itu berikutan kenyataan Pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam bahawa suruhanjaya itu di Malaysia ibarat ‘harimau tak bertaring’.

“Hasmy berkata mereka terikat dan tidak mampu mengejar dan ‘menggigit’ meskipun telah memohon kepada kerajaan supaya diberikan lebih kuasa dan ‘taring’.

“Barangkali apa yang wajar dilakukan oleh pesuruhjaya Suhakam meletakkan jawatan secara beramai-ramai dengan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai protes atas layanan yang diberikan kepada mereka,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Lip Eng turut meminta Suhakam mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Raja-raja memandangkan suruhanjaya itu dianggap sudah tidak lagi relevan dan membazir wang rakyat.

“Kabinet patut berbincang segera untuk membubarkan Suhakam dan diganti dengan ‘Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia’,” katanya. – Kedahnews.com