Tidak Patuh Arahan Polis, 50 Individu Cetus Kecoh Diheret Ke Mahkamah

PETALING JAYA – Seramai 50 individu, termasuk sembilan mahasiswa dan beberapa penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana tidak mematuhi arahan polis untuk bersurai ketika berkumpul membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), bulan lepas.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Tertuduh terdiri daripada 35 lelaki dan 15 wanita berumur lingkungan 21 hingga 66 tahun didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Jalan SS6/3, Kelana Jaya di sini, pada 5 petang, 23 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 21 (3) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun peguam Gobind Singh Deo memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000 atas alasan kesemua tertuduh memberi kerjasama baik untuk hadir ke mahkamah.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula.

Galeri mahkamah dipenuhi dengan tertuduh dan anggota keluarga mereka.

Sementara itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap empat lagi tertuduh iaitu P. Mohan, 48, E. Silvarajah, 66, Mohd Faizal Mohd Sabri, 32, dan Afzanizam Hashim, 39, yang gagal hadir pada prosiding hari ini.

Hakim Azwarnida turut menetapkan Selasa depan untuk sebutan semula bagi keempat-empat mereka.
Antara peguam yang turut mewakili tertuduh ialah Roger Chan dan Mohd Zaki Shukri.

Terdahulu, 50 aktivis terbabit berkumpul di perkarangan bangunan mahkamah Petaling Jaya dan berarak memasuki bilik perbicaraan untuk menghadiri prosiding.

Pada 25 Mac lepas di mahkamah sama, dua anggota Parlimen iaitu Dr Mohd Hatta Md Ramli (Kuala Krai), 58, daripada PAS dan Micheal Jeyakumar Devaraj (Sungai Siput), 59, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama 23 yang lain turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama. – BERNAMA