JIKA dikaji objektif yang paling penting dalam sistem pendidikan adalah memastikan kesaksamaan dalam keberhasilan murid. Walau bagaimanapun, kajian mendapati sehingga kini keberhasilan murid masih kurang saksama. Keseimbangan antara ilmu dunia dan akhirat mestilah dilaksanakan.
Hal ini mestilah dilakukan melalui pendidikan peringkat rendah, menengah dan di pusat pengajian tinggi bagi melahirkan modal insan yang seimbang dengan ilmu, iman dan ketakwaan.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Pokok segala urusan ialah al-Islam dan tiangnya adalah solat dan pucuknya (atapnya) adalah berjihad.” (riwayat At-Tirmizi)
Lantaran itu, segala urusan di dunia ini mestilah berlandaskan Islam, termasuk cabaran untuk pembangunan insan. Pencapaian keberhasilan murid secara saksama masih satu cabaran yang perlu ditangani oleh semua iaitu membabitkan ibu bapa, guru dan masyarakat.
Cabaran pembangunan insan adalah ke arah pembangunan negara iaitu mengukuhkan jati diri bangsa dengan perpaduan dan kemajuan. Justeru, ikatan kekeluargaan amat penting ke arah menyeimbangkan pembangunan insan dan negara.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiada lurus seorang hamba sehingga lurus hatinya dan tiada lurus hatinya sehingga lurus lidahnya.” (riwayat Ahmad)
Maka untuk mewujudkan pembangunan insan yang seimbang, daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, mestilah dengan kekuatan iman dan takwa. Transformasi pendidikan negara tidak terhenti setakat peringkat menengah sahaja. Ia mesti diteruskan di peringkat pusat pengajian tinggi dengan ilmu, iman dan takwa.
Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Iman yang paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah selalu menyertai kamu di mana pun kamu berada.” (riwayat Ath-Tabrani)
Cabaran pembangunan semasa negara adalah untuk melahirkan insan yang beriman dan bertakwa. Dalam era globalisasi pembangunan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat (ICT) amat penting bagi menghadapi pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Justeru, langkah memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah sedang dilaksanakan.
Hayati nilai agama
Pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk menangani cabaran mendatang demi mempertingkatkan kesejahteraan dan keharmonian hidup di sesebuah negara, khususnya Malaysia. Kini pendidikan di Malaysia lebih menumpukan kepada pembangunan insan yang mempunyai ilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, mempunyai kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, mempunyai etika dan kerohanian serta mempunyai identiti nasional.
Antaranya pembinaan dan pemupukan ilmu melalui pembacaan buku, ceramah, bengkel bagi memupuk idea yang boleh dimanfaatkan bagi menangani masalah pembangunan yang dihadapi oleh seseorang individu, masyarakat dan negara.
Dalam hal ini beberapa usaha sedang dijalankan di peringkat sekolah antaranya, melahirkan rakyat yang menghayati nilai agama, nilai murni dan nilai moral yang baik. Usaha ini dilakukan dengan kerjasama daripada ibu bapa, komuniti dan sektor swasta yang dilaksanakan secara meluas. Hanya dengan menuntut ilmu akan dapat menjadikan insan cemerlang di dunia dan akhirat.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah SWT dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan akhirat” (riwayat ar Rabii)
Jelaslah, pembangunan insan mestilah berteraskan ilmu, iman dan takwa. Semuanya akan menyumbang ke arah keamanan dan keharmonian negara secara berterusan. Insan seimbang yang merupakan nadi pembaharuan akan menyumbang kepada pembangunan negara secara berterusan.
*DR. AMINUDIN MANSOR, PENULIS berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM/Utusan