PERMATANG PAUH - Jemaah Masjid Saidina Abu Bakar di Taman Guar Perahu di sini kesal dengan dakwaan yang kononnya tujuan Mudir Madrasah Al-Rahmaniah di Sik, Tuan Guru Haji Salleh Musa berada di masjid berkenaan untuk melakukan solat hajat untuk parti tertentu untuk menang Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Menurut sumber, Ustaz Salleh berada di situ adalah untuk memenuhi jemputan menyampaikan kuliah agama di masjid itu sebagaimana rutin beliau sebelum ini.
"Setelah selesai kuliah, Tok Guru adakan tahlil. Setelah itu, ada permintaan untuk Tok Guru buat solat hajat sempena juga ada orang hajatkan akikah tiga ekor kambing.
"Jadi tujuan solat hajat adalah permintaan orang yang buat kenduri akikah semalam. Bagi meraikannya, Tok Guru pimpin solat hajat.
"Sudah menjadi kebiasaan orang yang mengaji dengan Tok Guru di masjid itu, Tok Guru pasti akan buat tahlil dan solat hajat," jelas sumber berkenaan.
Menurut sumber itu lagi, selesai mengimamkan solat hajat, Ustaz Salleh telah dijemput ke dewan makan di mana calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding bagi PRK Permatang Pauh, turut berada di lokasi yang sama.
Kata sumber, selesai Ustaz Salleh menikmati jamuan tersebut, Wan Azizah telah mengambil kesempatan untuk bertemu dengan beliau untuk bertanya khabar.
"Tok Guru beritahu dia sihat dan kuliahnya padat. Tiada unsur kempen dan pertemuan tu tidak sampai 5 minit," ujarnya memaklumkan tokoh pondok Sik itu terus pulang ke Kedah tanpa singgah di mana-mana premis politik yang sedang hangat berkempen.
Ustaz Salleh dikatakan adalah antara individu yang kuat menyokong kepimpinan ulama di dalam PAS.
Bagaimanapun, berkemungkinan "perang" kontroversi yang melanda PAS dengan dua sekutunya, DAP dan PKR, yang menolak perlaksanaan hudud, kemelut dalaman Pakatan Rakyat itu seolah memisahkan golongan ulama PAS dengan PRK Permatang Pauh.
Pertemuan Ustaz Salleh dengan Wan Azizah mendapat reaksi kurang senang
di kalangan penyokong pro-ulama PAS yang menyangka Tok Guru Pondok itu
menyokong PKR yang menolak hudud serta tidak mendapat sokongan dari akar
umbi PAS pada PRK Permatang Pauh kali ini.
Menurut laporan, boleh dikatakan hampir tiada langsung mana-mana pemimpin atau tokoh PAS pro-ulama yang hadir berkempen untuk memenangkan PKR di PRK Permatang Pauh melainkan beberapa pemimpin parti itu yang sebelum ini terpalit dengan tuduhan cuba menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ekoran diboikot Pemuda PAS Pulau Pinang dan kehilangan hampir semua jentera pilihanraya dari parti tersebut, PasMa menawarkan 1,000 anggota bagi membantu PKR berkempen di situ meskipun dianggarkan hanya seramai sekitar 100 orang sahaja yang disediakan NGO berkenaan.
SPR sebelum ini telah menyerbu bilik gerakan PasMa di Permatang Pauh dan mengarahkan "banner" NGO itu yang dipercayai bertujuan membantu kempen PKR di parlimen itu telah diarah supaya diturunkan segera. -Kedahnews.com