Tolong Jangan Hina, Jangan Jatuhkan Maruah Wan Azizah

PERMATANG PAUH - Calon Barisan Nasional (BN) di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin memohon semua pihak yang berkempen untuknya di sini supaya mengamalkan nilai murni dan akhlak yang terpuji.

Menurut beliau yang ditemui Kedahnews.com di sini, jentera kempen BN di Permatang Pauh tidak perlu menyerang mana-mana calon bertanding dan menjejaskan maruah mereka di mata umum, sekaligus menghasilkan suasana kempen pilihanraya yang harmoni.

"Kempen yang bersih sudah semestinya mencerminkan satu suasana politik yang baik.

"Kita tidak boleh serang secara individu dan menjatuhkan maruah pihak lawan," kata Suhaimi ketika ditemubual.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa PAS enggan mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor atas alasan beliau merupakan seorang pemimpin yang lemah.

Dakwaan Abdul Hadi itu dianggap bersifat menyerang peribadi isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menjatuhkan maruah Wan Azizah sehingga menyebabkan wujudnya konflik berlarutan yang masih gagal diselesaikan hingga kini.

Justeru itu, calon BN yang terkenal dengan keramahannya di kalangan masyarakat Permatang Pauh mahu kempennya tidak menyerang peribadi mana-mana calon bertanding, khususnya Wan Azizah.

Seterusnya setelah berusaha memenangi hati rakyat, Suhaimi menyerahkan segala usaha tersebut untuk dinilai oleh Allah SWT dan berserah pada kehendakNya berhubung keputusan pilihanraya nanti.

Menurut Suhaimi yang telah mendapat restu ibunya untuk bertanding sebagai calon BN itu, beliau yakin Allah SWT lebih tahu mana yang terbaik buat rakyat di Permatang Pauh dan menyerahkan takdirnya kepada Yang Maha Berkuasa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelum ini dalam satu kenyataan menyifatkan Permatang Pauh sebagai sebuah parlimen yang diabaikan ahli parlimennya sejak sekian lama dan hanya mengharapkan wakilnya sahaja untuk berada di kawasan berkenaan. -Kedahnews.com