Toyota, Lexus Umum Turun Harga Gara-Gara GST

KUALA LUMPUR – Kereta jenama Toyota dan Lexus diumum bakal mengalami penurunan harga sehingga RM4,000 atau kira-kira dua peratus berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula hari ini.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata, penurunan harga itu secara tidak langsung mengukuhkan sokongan UMW Toyota Motor terhadap pelaksanaan GST oleh kerajaan.

“Syarikat akan telus dalam transaksi perniagaannya dan akan mematuhi sepenuhnya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2014,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ismet dalam pada itu turut menafikan dakwaan spekulasi pelaksanaan GST kononnya akan menjejaskan harga jualan kereta kerana harga menurun disebabkan cukai jualan 10 peratus digantikan dengan GST enam peratus.

Menurutnya, kenderaan UMW Toyota Motor akan menyalurkan 100 peratus kos penjimatan kepada pelanggan semasa pembelian model Toyota dan Lexus semasa pelaksanaan struktur cukai baharu itu.

“Terdapat implikasi berbeza kepada perniagaan dalam pelbagai bidang daripada pengiraan cukai, pemungutan, pemulangan, penyatuan kepada penyediaan kos, berbanding kepada sistem sedia cukai jualan dan perkhidmatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pembeli menikmati pengurangan harga baharu kesemua kenderaan Toyota dan Lexus dan mengambil peluang daripada promosi dan tawaran hebat yang akan diberikan sepanjang tahun. -Kedahnews.com