Tragis: Jururawat Hamil Maut Kemalangan, Al-Fatihah...

MUAR – Seorang jururawat yang hamil maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Mohd. Salleh Abd. Razak berkata, dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, Nor Farhana Ali, 32, yang hamil 17 minggu meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

“Ketika kejadian mangsa bersama seorang anak lelaki berusia tiga tahun menaiki Perodua Myvi dari arah Muar menghala ke Segamat dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Kereta Toyota yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia lingkungan 50an, cuba mengelak ke kiri bahu jalan tetapi dirempuh kereta mangsa menyebabkan kenderaan tersebut terbabas masuk ke dalam parit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal mengalami cedera ringan selepas merempuh belakang kereta Toyota itu yang gagal mengelak.

Katanya, Nor Farhana merupakan seorang jururawat di Hospital Segamat meninggal dunia kerana kecederaan parah pada anggota badan manakala anaknya itu mengalami patah tangan.

Mohd Salleh berkata, pemandu dan penumpang kereta Toyota tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA