KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas ke Nepal untuk misi kemanusiaan hari ini, akan kembali membawa 95 rakyat Malaysia yang terkandas di negara berkenaan.
Najib berkata beliau dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa pesawat berkenaan sudah selamat mendarat di Kathmandu pada 10.15 pagi, hari ini.
"Petang ini, pesawat C-130 akan kembali bersama-sama 95 rakyat Malaysia yang terkandas di Nepal. Kami akan membawa mereka pulang dengan selamat," kata Najib dalam catatan terbaharu Facebook rasmi beliau, hari ini.
Pada Sabtu lepas, gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegarkan Nepal pada 2.56 petang (waktu Malaysia), turut menyebabkan gegaran kuat di Utara India. Gempa susulan turut berlaku di seluruh Nepal.
Ia adalah tragedi gempa bumi paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun, dengan mencatatkan lebih 4,000 kematian hari ini dan 6,500 orang cedera. – Bernama