CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengkritik hasrat
PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dengan menyifatkan ia
sebagai ‘tidak Islamik’ dan hanya bertujuan untuk meraih undi.
Beliau menjelaskan bahawa hukum hudud mengalakkan keadilan dan
undang-undang hudud yang dicadangkan PAS mengecualikan orang bukan Islam
daripada hukuman dan oleh itu ia tidak adil.
“Di dalam al-Quran terdapat 43 ayat yang mengatakan bahawa apabila
kamu menjatuhkan hukuman, anda mesti menghakiminya dengan adil. Tetapi
dibawah hudud PAS, ia hanya diguna pakai terhadap orang Islam. Sekiranya
orang Islam dan bukan Islam ditangkap kerana merompak, yang Islam akan
dipotong tangannya manakala yang bukan Islam hanya dihukum penjara.
“Beritahu saya adakah ia adil? Sekiranya tidak adil, ia bukan
Islamik,” kata Dr Mahathir ketika menjawab soalan yang diajukan peserta
persidangan kepimpinan ‘What Youth Should Know’ di sini Sabtu.
Dr Mahathir juga berkata niat PAS untuk melaksanakan hudud bukan atas sebab Islam tetapi demi politik.
“Niat PAS bukan untuk Islam. Ia hanya untuk memenangi pilihan raya
dan membuktikan mereka lebih Islamik berbanding Umno. Sekiranya niat
anda untuk politik, maka hudud yang anda cuba laksanakan tidak lagi
bersifat Islamik.
“Umno Kelantan menyokong hudud tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya yang mereka sokong,” katanya.
Dr Mahathir berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum, kerajaan tidak mampu melaksanakan hudud di negara ini.
“Kami tidak boleh melaksanakan hudud di Malaysia kerana ia sebuah
negara berbilang kaum. Tetapi terdapat undang-undang sedia ada yang
mampu menegakkan keadilan.
“Saya percaya apabila anda menegakkan keadilan, maka anda sebenarnya menegakkan prinsip Islam,” katanya. - mStar