BANDA ACEH – Umat Islam akan mempunyai kekuatan dalam menegakkan
ajaran agama itu serta hidup aman selagi berpegang kepada Al-Quran dan
Hadith, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Menurut baginda pendekatan ‘wassatiyah’ (sederhana), tidak melampau
dan tidak cuai melaksanakan ajaran Islam adalah asas pegangan umat Islam
yang dapat meletakkan penganut Islam pada tempat sepatutnya.
“Sumber utama Islam terkandung dalam Al-Quran dan Hadith dan beramal
berlandaskan wassatiyah dapat mencegah umatnya bersikap melampau
sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang ditegah agama.
“Dalam bersemangat menegakkan Islam dan terlalu mencintai Nabi
Muhammad SAW, kita tidak diajar supaya menghina sahabat-sahabat baginda
seperti berlaku dalam ajaran-ajaran tertentu,” tegas baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah merasmikan Seminar Wassatiyah anjuran
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di
Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) di sini, petang ini.
Sempena seminar itu yang disertai anggota Majelis Permusyarawatan
Ulama (MPU) Aceh dan pelajar UUI diadakan wacana ilmu dalam dua
bahagian.
Anggota panel wacana ilmu I terdiri daripada Mufti Perlis Dr Mohd
Asri Zainul Abidin dan bekas Mufti Perlis Dr Juanda Jaya manakala
bahagian II membabitkan anggota Jawatankuasa Dakwah, Tarbiah dan
Pendidikan MAIPs (selepas peluk Islam) Syah Kirit Kakulai Govinji dan
Lim Joi.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin golongan manusia yang mudah alpa kerana
terlalu mengejar duniawi sehingga melupakan ukhrawi atau akhirat
menyebabkan mereka menghalalkan perkara-perkara yang jelas dilarang oleh
syariat.
“Kehilangan sifat wassatiyah sebaliknya mewujudkan kelompok yang
lebih suka berada di masjid sepanjang masa dan melupakan tanggungjawab
membimbing kelompok manusia di luar masjid.
“Wassatiyah sebenarnya dapat mendidik seseorang menjadi Muslim
seimbang duniawi dan ukhrawi. Atas kesedaran ini MAIPs menganjurkan
Seminar Wassatiyah di Aceh dengan harapan dapat berkongsi ilmu serta
melaksanakan pendekatan yang tidak radikal bagi menonjolkan keindahan
Islam,” titah baginda.
Sebelum itu pada sebelah pagi Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang
DiPertua MAIPs mengetuai delegasi MAIPs mengadakan perbincangan dengan
MPU yang diketuai Wakil Ketua II MPU H.M. Daud Zamzany di sini.
Menurut ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Hussin kedua-dua
pihak bertukar pandangan mengenai usaha untuk memartabatkan lagi Islam
berpandukan sunnah Nabi Muhammad SAW. – BERNAMA