Ramai berpandangan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menang mudah di Pilihanraya Kecil (PRK) Rompin. Namun sebaliknya, parti yang membentuk Kerajaan itu dikatakan sangat mustahil untuk menawan kubu kuat PKR di PRK Permatang Pauh.
Pun begitu, penulis meneliti tentang jawapan "standard" para pemimpin BN yang optimis mengatakan mereka mampu menawan parlimen yang dikuasai keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim "turun temurun" itu.
Di sebalik semangat BN yang berkobar-kobar menggempur kubu Anwar di Permatang Pauh, penulis menjangkakan pihak Pakatan Rakyat, khususnya PKR dan DAP akan bermati-matian berkempen di PRK berkenaan kali ini.
Dibantu oleh pemimpin PAS "sekular" seperti Mat Sabu, Dr Mujahid Rawa, PasMa dan jenteranya, penulis menjangkakan UMNO akan tetap kalah kali ini.
Pada pandangan penulis, BN bakal berdepan dengan isu-isu utama seperti perlaksanaan GST yang menjadi senjata kepada Pakatan Rakyat yang selama ini mengapi-apikan rakyat untuk membenci pihak Kerajaan.
Selain itu, isu serangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijangka bakal digunakan Pakatan Rakyat dalam agenda kempen mereka di Permatang Pauh nanti.
Manakala BN pula hanya berbekalkan isu hudud di Kelantan, porak-peranda rumahtangga Pakatan Rakyat, isu moral para pemimpin pakatan pembangkang itu selain menawarkan khidmat yang lebih berkesan kepada rakyat Permatang Pauh berbanding Anwar sebelum ini.
Penulis menyanjung tinggi pendirian PAS Kawasan Permatang Pauh yang tegas enggan memberi kerjasama untuk menyokong PKR di PRK kali ini selagi parti itu tidak meminta maaf pada PAS dan berubah pendirian untuk menyokong enakmen hudud di Kelantan.
Namun rasanya ramai penganalisis dunia politik tanahair yang akui bahawa sekeras mana pun pendirian tersebut pastinya akan "cair" apabila wujud campur tangan dari pihak atasan yang membawa alasan "muafakat", "tahaluf siyasi" dan sebagainya.
Bagi calon PKR pada PRK kali ini pula, penulis menjangkakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah tidak akan bertanding dan akan menyerahkan kerusi tersebut kepada anaknya, Nurul Nuha Anwar, yang cuba dilonjakkan ke kelompok kepimpinan Pakatan Rakyat selain kakaknya, Nurul Izzah.
Seterusnya, Nurul Nuha dijangka akan menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan perlaksanaan hudud di Kelantan dan tindakan tersebut akan membuka sokongan dari para penyokong PAS di Permatang Pauh untuk menyokong calon PKR itu.
Kadangkala, mungkin terlalu kerap berdrama, sketsa-sketsa dalam keluarga PKR menjadi mangsa jangkaan, spekulasi dan perencanaan minda para penganalisis politik. Tidak terkecuali, strategi PKR yang berdepan pendirian PAS di Permatang Pauh.
Penulis yakin, PKR perlu mendapatkan lebih 11,000 majoriti undi dalam kemenangan mereka kali ini atau mereka boleh dianggap "kalah" kepada UMNO di Permatang Pauh.
UMNO sudah tentunya turun sebagai "underdog" di kubu kuat Anwar dan dijangka sangat mustahil untuk menang. Namun, sekiranya UMNO mampu mengurangkan undi majoriti PKR sebanyak 5,000 hingga 6,000 undi, maka UMNO boleh dikatakan "menang" dari sudut moral, bukan?
Cuma penulis harap agar perjalanan PRK Permatang Pauh kali ini berjalan lancar tanpa berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Ingatlah bahawa sejauh mana pun kita berpolitik, akhlak, undang-undang dan hukum hakam agama perlu diberi keutamaan. Wallahu'alam. -Kedahnews.com