UMNO Johor Tegas Sokongan Terhadap Najib Tidak Goyah

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
KULAIJAYA – Umno Johor hari ini melahirkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor turut menegaskan kepercayaan itu tidak akan goyah sekalipun Najib dikritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Kita percaya perkara-perkara itu tidak dipandang begitu mudah dan sebab itu, dalam soal ini, Datuk Seri Najib telah pun banyak kali membuat kenyataan dan berjumpa dengan pelbagai pihak sama ada kabinet, wakil-wakil rakyat ataupun ketua-ketua bahagian.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini, kita berkeyakinan penuh kepada (kepimpinan) beliau,” kata Mohamed Khaled kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang baharu dari Jerman – Heraues Materials Malaysia Sdn Bhd (HMTM) di Kawasan Perindustrian i-Park, Kulaijaya, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, jika ditanya secara peribadi, beliau tidak akan terkesan dengan kritikan Dr Mahathir itu kerana “dalam sejarah memang sudah banyak kritikan berlaku ekoran perbezaan pendapat dan sebagainya.”

“Tun M adalah Tun M. Saya pun pernah kena (dikritik) semasa (pembentangan) Rang Undang-Undang Hartanah dan Perumahan Johor 2014,” kata beliau. – BERNAMA