Unit URB Polis Kedah Terbukti Mantap Cegah Pecah Rumah

JITRA - Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia mencapai matlamat penubuhannya terutama mencegah jenayah pecah rumah namun penglibatan menyeluruh masyarakat dengan polis adalah kunci utama kejayaan pembanterasan jenayah.
    
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti Polis Kedah, Asisten Komisioner Shamsudin Mat berkata, hubungan dan kerjasama masyarakat dengan polis boleh diperkasakan melalui pelbagai cara khususnya dialog.
    
Katanya, masyarakat mungkin kurang pengetahuan atau sedar jenayah dapat dielakkan jika mereka menutup ruang untuk penjenayah mengambil kesempatan melakukan jenayah.
    
"Pencegahan secara menyeluruh lebih berkesan apabila kedua-dua pihak mempunyai hubungan baik selain komuniti itu sendiri tahu peranan mereka.
    
Penjenayah akan merasa gerun dengan masyarakat seperti pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Rukun Tetangga apabila kerjasama dan hubungan dengan polis kuat hasil kerap mengadakan program pencegahan jenayah bersama-sama," katanya. 
    
Shamsudin berkata demikian semasa berdialog dengan peserta 'Program Hari Perpaduan dan Dialog Bersama Komuniti' anjuran Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kubang Pasu di Dataran Darulaman di sini, hari ini.
    
“Kajian polis mendapati antara punca utama jenayah pecah rumah ialah kemiskinan dan terbabit dengan penagihan najis dadah,” katanya.
    
Beliau berkata, keberkesanan URB pula terbukti apabila dalam tempoh tiga bulan dari Januari hingga Mac tahun ini sahaja, unit itu telah memberkas 46 orang ketika melakukan jenayah di seluruh negeri.
    
“Mengenai penagihan daun ketum yang menjadi isu masyarakat, beliau berkata penyakit sosial itu sukar dihapuskan atas sebab tertentu.
    
"Bagaimanapun yang menghairankan polis ialah ramai pengusaha air ketum yang diberkas semasa memprosesnya adalah golongan warga emas. Saya yakin masalah ini masih boleh ditangani dengan sokongan dan kerjasama masyarakat," katanya.
    
Shamsudin berkata, polis menangani kes-kes remaja yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta pelajar yang tiada lesen menunggang motosikal ke sekolah dengan cara berhemah demi masa depan mereka.
    
Katanya, Kubang Pasu sahaja mencatatkan kecurian motosikal sebanyak 120 kes dari Januari hingga Mac tahun ini atau purata 1.5 buah sehari yang membimbangkan akibat kecuaian pemiliknya. - Bernama