Universiti Teknikal Malaysia Melaka Bina Asrama Tampung 5,000 Pelajar

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob (tengah) bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (dua kiri) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin (dua,kanan) melihat replika pelan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Asrama Pelajar universiti itu, hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR GAJAH – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal membangunkan asrama bernilai kira-kira RM180 juta yang boleh menampung seramai 5,000 pelajar bagi memenuhi keperluan pelajar dan menaik taraf institusi itu di kampus induknya di sini.

Projek yang dijangka siap dalam masa dua tahun itu oleh Syarikat Naluri Etika melalui perjanjian yang diadakan bersama pihak UTeM dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah Utem, Tan Sri Ahmad Zaidee Ladin berkata, UTeM pada ketika ini hanya mempunyai sebuah kolej kediaman pelajar yang berkapasiti 1,020 pelajar di dalam kampus induk.

“Bilangan pelajar Utem ketika ini telah mencecah lebih 11,000 orang dan dengan pelaksanaan projek pembangunan asrama baharu ini, ia boleh membantu menyelesaikan masalah penempatan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pecah tanah projek asrama itu yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di Utem di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Shahrin Sahib.

Ahmad Zaidee berkata, projek asrama berkeluasan 7.28 hektar itu membabitkan pembinaan lima blok 10 tingkat, lima unit kediaman pengetua asrama, 10 unit kediaman felo dan satu unit kafeteria yang mampu memuatkan 1,000 orang.

Beliau berkata kemudahan gelanggang sukan akan turut dibangunkan seperti gelanggang futsal, gelanggang bola tampar, gelanggang bola keranjang dan gelanggang serbaguna.

“Dengan terbinanya asrama ini, saya berharap agar ia dapat mempertingkatkan lagi pembangunan pembelajaran pelajar di asrama dan pelbagai aktiviti berbentuk akademik dapat dihasilkan,” katanya. – Bernama