ALOR SETAR - Dalam usaha memperkasa agenda pengantarabangsaan dan
pengukuhan pelan transformasi Universiti Utara Malaysia (UUM), delegasi
UUM diketuai Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
mengadakan lawatan ke lima universiti terkemuka di Thailand.
Lawatan kerja bermula 30 Mac lalu itu membabitkan Universiti Thammasat,
Universiti Ramkhamhaeng, Universiti Rangsit, Universiti Chulalongkorn
dan The National Institute Of Development Administration (NIDA).
Menurut Mohamed Mustafa, lawatan bertujuan mengukuhkan pelan
transformasi UUM khususnya dalam aspek penyelidikan dan penerbitan
melalui kolaborasi antarabangsa selain menandatangani Memorandum
Persefahaman (MOU).
"Antara persetujuan yang dicapai adalah menjayakan agenda geran sepadan
sekurang-kurangnya RM10,000 bagi menghasilkan satu penyelidikan dan
penerbitan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, UUM turut meninjau peluang untuk menjalankan kerjasama bersama
universiti Thailand khususnya dalam membangunkan program Sarjana Muda
dalam Pengurusan Perniagaan dengan pengkhususan bidang Pengurusan Sukan
dan Golf.
Presiden NIDA, Prof Madya Dr Pradit Wanarat berkata pihaknya berminat
bekerjasama dengan UUM dalam penyelidikan dan penerbitan, penghasilan
kajian kes di negara Asean dan program lain menerusi agenda geran
sepadan.
"Bidang lain yang dilihat berpotensi untuk kerjasama adalah Perbankan
Islam kerana UUM memiliki Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) yang
pernah memenangi anugerah sempena Majlis Anugerah Kewangan Islam Global
(GIFA)," katanya.
UUM juga akan bekerjasama menganjurkan program Eksekutif Lanjutan
dengan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM
seperti mana kerjasama UUM dengan Kellogg School of Management, Chicago
dan Judge Business School, Cambridge University, katanya.
Katanya, UUM merupakan universiti pertama dari Malaysia yang
menjalinkan kerjasama dengan NIDA dan beliau berbesar hati untuk
bekerjasama dengan universiti itu dalam mengukuhkan lagi hubungan
antarabangsa. - Bernama