PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) sebelum ini pernah dilaporkan kecoh gara-gara
kemelut dalaman persatuan tersebut melibatkan aktres jelita, Vanidah Imran.
Terbaharu, Vanidah selaku pemegang jawatan bendahari di dalam Seniman telah dilucutkan jawatan
selepas dikatakan bertindak melarikan buku cek milik persatuan tersebut.
Menurut Presiden Seniman, Zed Zaidi, keputusan itu diputuskan selepas
mesyuarat jawatankuasa bersidang pada Mac lalu dan mendapat undi
majoriti daripada Ahli Jawatankuasa untuk melucutkan jawatan Vanidah
sebagai bendahari.
“Pelucutan tersebut dibuat atas sebab dia (Vanidah) tidak mendengar
arahan jawatankuasa agar menyelesaikan bil tertunggak, gaji pekerja,
bayaran sewaan dan lain-lain sekali gus meyukarkan pentadbiran Seniman.
“Jawatan tersebut kini diambil alih oleh pelakon Zarina (Raja Lawak),” katanya.
Konflik bermula apabila AJK Seniman mendakwa Vanidah melarikan buku
cek dan enggan memberi kerjasama apabila diminta untuk mengeluarkan wang
bagi menjalankan operasi dan membayar gaji pekerja.
Permasalahan ini juga dikatakan telah menyebabkan persatuan itu agak sukar untuk menjalankan aktiviti dan melakukan sumbangan kebajikan.
Ekoran itu, difahamkan bahawa Zed Zaidi telah membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati pada 19 Disember lalu. -Kedahnews.com