VIDEO INSIDE: Pelajar Perempuan Sakan Bertumbuk Cetus Tidak Puas Hati Warga Netizen

ALOR SETAR - Sebuah rakaman video menyaksikan aksi "ganas" sekumpulan pelajar perempuan sekolah menengah bertumbuk telah mencetuskan kekecohan di laman sosial, apabila rata-rata penontonnya meluahkan rasa marah dan tidak puas hati terhadap insiden memalukan itu.

Menerusi video berdurasi selama 49 saat yang dikatakan dirakam menggunakan telefon bimbit itu, kumpulan pelajar perempuan yang masih berbaju sukan tertera nama “SMK Limbanak” dilihat sedang bergaduh sesama sendiri sambil disorak oleh rakan-rakan mereka.

Video berkenaan difahamkan telah dimuatnaik di akaun Facebook Penampang Bulletin itu dan ditonton lebih dari 22,000 kali hanya dalam tempoh empat jam, sekaligus meletakkannya mencapai status viral di laman sosial.

Pada awal video itu, seorang pelajar perempuan yang memakai baju Persatuan Bulan Sabit Merah dilihat menumbuk seorang pelajar lain, sementara seorang lagi rakannya tampil untuk menjernihkan keadaan.

Pergaduhan itu kemudiannya menjadi lebih besar apabila pelajar lain turut campur tangan.


Seorang pengguna Facebook, Abigail Eve berkata, keganasan bukanlah jalan penyelesaian terbaik.

“Pergaduhan mereka memberikan impak negatif kepada imej sekolah dan juga ibu bapa. Pelajar perempuan tidak seharusnya bersikap begini,” tulis Abigail.

SMK Limbanak yang terletak 15km daripada pekan daerah Penampang juga mempunyai pelajar lelaki.

Difahamkan bahawa Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alif berkata, pihak polis telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

“Kes ini sedang disiasat pihak polis dan saya menunggu laporan selanjutnya,” kata Datuk Jame Alif mengulas mengenai kejadian itu. -Kedahnews.com