Wan Azizah, Awak Kat Mana, Awak Kat Mana..? - Rakyat DUN Kajang

PERMATANG PAUH – Ketika Datuk Seri Wan Azizah sibuk berkempen sebagai calon PRK di Permatang Pauh, para penduduk Taman Delima di Kajang resah gelisah mengenangkan nasib mereka yang bakal "hilang" wakil rakyat tidak lama lagi.

Semalam, mereka berkumpul mencetus tandatanya berkenaan khidmat wakil rakyat yang dijangka menang di Parlimen Permatang Pauh sedangkan beliau didakwa masih gagal melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya dipikul di DUN Kajang.

Salah seorang dari rakyat Kajang, Bahtiar Mohd Annuar berkata, kelibat Wan Azizah yang tidak nampak bayang ketika mereka dilanda musibah baru-baru ini merupakan perkara yang amat menyedihkan dan sukar untuk dimaafkan.

“Selasa lepas berlaku ribut, 60 rumah penduduk rosak dengan atap diterbangkan angin dan semalam Kampung Sungai Kantan pula dilanda banjir, tetapi Wan Azizah langsung tidak muncul.

“Ketika penduduk sedang bersedih dengan apa yang berlaku, wakil rakyat yang diharap pula sibuk berceramah dan berkempen untuk dirinya di Permatang Pauh…ini yang kami kesalkan,” katanya, kesal dengan prestasi nenek kepada beberapa orang cucu itu.

Penduduk di situ juga mengharapkan Wan Azizah  memikirkan kembali janji-janji yang beliau tabur pada rakyat di situ ketika berkempen PRK DUN Kajang sebelum ini dan bermuhasabah diri berkenaan prestasi beliau selepas memenangi kerusi itu pada Mac tahun lepas.

Kemampuan Wan Azizah sebagai pemimpin sebelum ini dipertikai oleh PAS sebelum ini di mana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi alasan bahawa isteri Anwar itu merupakan pemimpin yang lemah dan tidak layak dicalon sebagai Menteri Besar di Selangor.

Ramai pihak di Permatang Pauh turut mempersoal tindakan Wan Azizah yang meletak jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh sebelum ini dengan memberi alasan mahu memberi tumpuan pada keluarga dan cucunya.

Sedangkan umumnya rakyat tahu beliau sebenarnya hanya meletak jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada suaminya untuk menjadi ahli parlimen di kubu kuat tradisi PKR itu. -Kedahnews.com