Wanita UMNO Sebulat Suara Sokong Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama Pergerakan Wanita Umno hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Pemimpin tertinggi Wanita Umno dan ketua pergerakan itu dari seluruh negara hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan melahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri.
 
Para pemimpin Wanita itu mewakili 1.3 juta anggota pergerakan itu.
 
Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Najib selaku perdana menteri, Pengerusi barisan Nasional (BN) dan presiden Umno, tahu tanggungjawab utama beliau adalah kepada rakyat dan parti.
 
Beliau berkata Najib akan menjawab segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
 
Najib adalah seorang pemimpin yang terbuka, dan percaya kepada proses demokrasi, katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu, di tengah-tengah kritikan yang dilemparkan terhadap Najib oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Beliau amat terbuka sekali dan beliau menerima cadangan, teguran dan kritikan... Saya rasa tak ada siapa boleh sangkal bahawa Najib adalah pemimpin yang berhemah," katanya.
 
Shahrizat turut meminta pihak-pihak yang menimbulkan persoalan kepada Najib supaya bersabar dan memberi peluang kepada pemimpin negara itu menjawab segala perkara yang dibangkitkan. 
 
Beliau berkata walaupun Najib baru menerajui kepimpinan negara dalam   tempoh yang singkat, beliau telah membawa banyak perkara positif kepada negara. - Bernama