ALOR SETAR - Isu lambang salib yang digantung di sebuah gereja di Taman Medan, Petaling
Jaya yang diturunkan selepas mendapat bantahan penduduk tempatan
mendapat perhatian ramai termasuk personaliti terkenal, Wardina
Saffiyah.
Wardina dalam kenyataannya merayu supaya lambang salib berkenaan tidak diturunkan, malah menyifatkan bantahan umat Islam yang merupakan penduduk di Taman Medan itu sebagai satu tindakan membuli saudara-saudara Kristiannya dan seolah menyekat kebebasan beragama di situ.
"Saya harap salib itu kekal di situ. Tolong jangan turunkan. Saya
memahami perasaan saudara-saudara penganut Kristian di situ.
"Saya meminta maaf
kerana saudara semua sering dibuli oleh sebilangan saudara seIslam saya," katanya yang dipetik dari laman rasmi Facebooknya hari ini.
Selain itu Wardina turut menyeru umat Islam terbabit supaya menjadi umat Islam yang benar-benar mengamalkan Islam sebenar dan memberi contoh berkenaan keharmonian hidup masyarakat berbilang agama di zaman Rasulullah SAW dahulu.
"Wahai saudara Islam semua, jadilah umat Islam yang sebenar-benarnya.
"Orang Islam sejak berabad dulu termasuk semasa zaman Rasulullah SAW
telah hidup secara harmoni dengan orang beragama Kristian. Saya
sayangkan saudara saya yang beragama Kristian.
"Biarkan penganut agama Kristian juga mendapat hak kebebasan mereka.
Kepada penganut Kristian Taman Medan, sampaikan salam saya kepada Paderi
juga permohonan maaf saya," tulis Wardina lagi.
Wardina yang kini difahamkan sedang berada di Australia kerana menyambung
pengajiannya di sana turut meluahkan harapan agar semua pihak menghormati agama dan kepercayaan
masing-masing di Malaysia.
"Saya faham perasaan menjadi golongan minoriti. Saya tahu betapa
sukarnya jika dibuli kerana kepercayaan kita.
"Apabila orang bukan Islam
menyokong orang Islam di Australia, perkara itu sudah membawa makna yang
cukup besar untuk kami semua di sini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wardina juga menyifatkan tindakan dan sikap "samseng" yang
ditonjolkan oleh umat Islam dalam protes tanda salibdi Taman Medan itu sebagai "bodoh".
Bagaimanapun, status Wardina itu mencetus pelbagai reaksi dari kalangan warga netizen, sama ada bersetuju dengan beliau atau mengecam kenyataan selebriti tersebut.
Pada Ahad lalu, dilaporkan kira-kira 50 penduduk setempat melakukan bantahan di
hadapan sebuah premis gereja di Taman Medan menuntut agar tanda salib
besar yang digantung di premis berkenaan diturunkan. -Kedahnews.com