JAKARTA – Prinsip wasatiyyah adalah kunci bagi memelihara umat Islam
seluruh dunia daripada terjerumus dalam gejala ekstremisme, kata
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Katanya prinsip itu bukanlah rekaan manusia tetapi Allah telah
menggelarkan umat Islam sebagai Ummatan Wasata iaitu umat yang terpilih
lagi adil seperti yang disebut dalam kitab suci al-Quran dan Islam
menentang segala bentuk ekstremisme.
“Gejala ekstrimesme wujud sekurang-kurangnya dalam dua bentuk iaitu
aliran yang beranggapan Islam sebagai serba longgar sehingga melupuskan
keaslian dan jati dirinya serta aliran yang menghayati Islam secara
serba sempit sehingga umatnya muncul dalam bentuk yang kasar dan jumud,”
kata beliau ketika merasmikan Muzakarah Ulama dan Pendakwah
Malaysia-Indonesia 2015 di sini hari ini.
Muhyiddin berkata kedua-dua aliran ekstremisme itu telah menyimpang
daripada ajaran Islam sebenar serta memecah-belahkan perpaduan umat
selain membentuk persepsi yang salah terhadap Islam sehingga mewujudkan
gejala Islamophobia di peringkat global.
Katanya Islam tidak pernah menganjurkan mahupun menyokong sebarang
bentuk keganasan kerana ia satu jenayah sedangkan Islam adalah agama
yang sejahtera dan mensejahterakan manusia.
Beliau berkata ketika negara Barat sedang melihat umat Islam sebagai
pengganas, terdapat pula golongan yang menggelar diri mereka sebagai
Islamic State (IS) menampilkan suatu fenomena yang begitu dahsyat dan
ganas dengan menyerang orang awam daripada kalangan Muslim dan bukan
Islam serta membunuh tahanan perang sewenang-wenangnya.
“Perlakuan ini tiada asasnya dalam Islam dan jenayah terrorisme
mereka adalah untuk menundukkan masyarakat awam dengan kekerasan dan
keganasan,” katanya.
Muhyiddin juga berkata dalam usaha membanteras gejala ekstrimisme
seperti itu, khazanah keilmuan para ulama serta dinamika metodologi para
pendakwah di Malaysia dan Indonesia harus dikongsi dan dimanfaatkan
bersama.
“Umat Islam di Malaysia dan Indonesia perlu berdiri teguh atas
prinsip wasatiyyah iaitu mengambil sikap pertengahan atau tidak melampau
dalam amalan agama seperti yang dituntut oleh ajaran Islam sebenar,”
katanya.
Beliau berkata prinsip wasatiyyah yang disebut dalam al-Quran tidak
menghalalkan pelampauan, kekerasan mahupun ketaksuban dan tidak pula
melonggarkan mahupun mencuaikan agama sehingga menyebabkan penyimpangan
atas nama agama.
“Saya percaya bahawa kefahaman dan amalan tentang prinsip wasatiyyah
mestilah disebarkan kepada umat seluruhnya. Para ulama dan pendakwah di
rantau nusantara ini berperanan untuk memastikan agar umat Islam tidak
terjebak dengan gejala ekstremisme menerusi bimbingan tradisi keilmuan
para ulama muktabar Ahlus Sunnah wal Jamaah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri turut menyarankan agar para ulama dan
pendakwah Malaysia serta Indonesia melihat aspek pendidikan Islam formal
berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai satu wahana
memperluaskan dakwah dan menangani ektresmisme.
“Sebagai Menteri Pendidikan, saya melihat sistem pendidikan Islam di
Malaysia yang menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan formal,
merupakan kaedah terbaik untuk menyebarluaskan kefahaman Islam yang
sebenar kepada masyarakat.
“Penularan pengaruh ekstremisme boleh dikawal menerusi penggunaan
kurikulum dan silibus pendidikan Islam yang standard berteraskan fahaman
Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mementingkan keamanan dan kesejahteraan
sejagat,” katanya.
Muhyiddin berkata para pendakwah dan ulama dari Malaysia dan
Indonesia diharap dapat meneroka dimensi-dimensi baharu dakwah yang
boleh menawarkan penyelesaian kepada pelbagai permasalahan umat Islam
masa kini.
“Sekiranya kita mampu membuktikannya di peringkat kedua-dua negara
tetangga ini, maka tidak mustahil apa yang kita rintis pada hari ini,
akan menjadi model ikutan terbaik untuk negara-negara Islam yang lain,”
katanya. – BERNAMA