Hati siapakah yang tidak tersentuh sayu melihat derita seorang anak kecil yang baru berusia 18 bulan yang terpaksa menahan sakit ekoran disahkan menghidap kanser pada mata kirinya.
Hampir menitis airmata kami melihat derita di wajah anak kecil ini meskipun dari kejauhan...
Biarpun berat mata Kedahnews.com menyaksikan derita adik Nur Farisha Mohd Firdaus, namun kami percaya, berat lagi bahu pasangan suami isteri, Mohd Firdaus Abd
Kadir,29 dan Intan Safina Mohd Rethuan, 27, mengenangkan derita anak kesayangan mereka itu.
Adik Nur Farisha dikatakan mula menghadapi masalah mata ketika dia baru berusia tiga bulan.
Namun adik kita itu yang menjalani pemeriksaan doktor kelmarin disahkan menghadapi kanser tahap empat dan pasangan itu bagai tidak lena malam, pilu mengenang nasib dan masa depan anak mereka.
Tambah menyayat hati, difahamkan bahawa penyakit kanser adik Nur Farisha dikatakan kini mula merebak ke bahagian otak hingga mengakibatkan dia tidak mampu
lagi berjalan.
“Saya sedih apabila melihat anak saya terbaring lemah dan selalu menangis kerana penyakit yang dihadapi.
“Kalau boleh biar saya sahaja yang menanggung kesakitan dan saya berdoa agar dia kembali pulih,” kata Intan Safina menahan hiba.
Menurutnya ibu itu, dia dan anak sulungnya yang kini menetap bersama kedua orang tuanya di Taman Keladi di Sungai Petani itu pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Justeru itu, bagi yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubungi Intan Safina di talian 019-5682636 atau menggunakan akaun Bank Simpanan Nasional di 0211929000158015 (Intan Safina Mohd Rethuan).
Kami dari Kedahnews.com mendoakan semoga Allah SWT memberikan kesabaran yang tinggi kepada Mohd Firdaus dan Intan Safina supaya tabah menghadapi ujian ini dan agar adik Nur Farisha disembuhkan segera dari deritanya, insyaAllah. -Kedahnews.com