Yaman Tidak Aman, Rakyat Malaysia Mula Pulang Ke Tanahair

Rakyat Malaysia Di Yaman
SEPANG – Sebanyak 47 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Sana’a dan Hodeidah, Yaman berikutan pergolakan di negara itu, selamat tiba di tanah air hari ini.

Kumpulan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan Malaysia Airlines MH151 dari Jeddah, Arab Saudi, yang mendarat pada 11.58 pagi.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha serta wakil Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar.

Mereka merupakan sebahagian daripada 121 rakyat Malaysia yang dijadualkan tiba di tanah air hari ini secara berperingkat.

Kumpulan seterusnya dijangka tiba menerusi dua penerbangan iaitu SriLankan Airlines pada 2.05 petang dan pesawat Emirates sejam selepas itu.

Penerbangan terakhir yang membawa 16 lagi rakyat Malaysia dijangka tiba menerusi penerbangan Qatar Airways pada 8.50 malam ini. – BERNAMA