10,000 Penyokong PAS Dijangka "Kejut" PKR 7 Mei Ini

PERMATANG PAUH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditegaskan bakal menerima kejutan pada 7 Mei ini jika parti itu gagal memohon maaf kepada PAS dan mengubah pendirian untuk menyokong enakmen hudud Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Bagan, Azmi Jaafar berkata, PAS mempunyai kira-kira lebih 10,000 pengundi di Permatang Pauh dan mereka dijangka tidak akan memberi undi pada calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sekiranya PKR enggan menuntut kehendak akar umbi PAS di Parlimen itu.

"InsyaAllah, kita di kawasan Permatang Pauh ni kita ada hampir lebih dari 10,000 pengundi.
.
"Kalau kata selagi mana kepimpinan Keadilan (PKR) ini masih lagi ego dengan sikap mereka, tunggu dan lihat PRK Permatang Pauh P044 ni..," katanya memberi bayangan "ngeri" kepada Wan Azizah yang juga merupakan Presiden PKR.

Azmi sebentar tadi mengepalai satu demonstrasi protes di depan Masjid Kampung Batu di sini bagi memberi sokongan penuh pada kepimpinan ulama, Abdul Hadi, dan menyokong penuh pendirian "sebenar" Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini dikatakan berlaku biadap dengan menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sehingga menimbulkan kemarahan majoriti ahli PAS di seluruh negara.

Selain itu, pendirian PKR untuk bersama DAP menolak enakmen hudud yang dibentang Kerajaan PAS Negeri Kelantan turut mencetus "amuk" di kalangan jemaah parti itu dan menegaskan bahawa adalah haram untuk mengundi sebuah parti yang menolak hudud seperti PKR.

Mengulas mengenai kenyatan "pusingan U" Mohd Yusni sebelum ini, Azmi menjelaskan bahawa kenyataan itu dibuat setelah Ketua Pemuda PAS Negeri itu menerima tekanan hebat dari pelbagai pihak, termasuk arahan pihak atasan parti.

Namun tegas Azmi, meskipun kenyataan itu terpaksa dibuat, pihak media sendiri dapat melihat senario kempen di PRK Permatang Pauh yang menyaksikan kelibat jentera dan akar umbi PAS yang boleh dikatakan hampir tidak terlibat langsung dengan aktiviti kempen Pakatan Rakyat.

"Media-media sendiri boleh tengok.. macamana di P044 ni..kan? Macamana dengan tidak cerianya.. hat tu kita pun boleh menilai sendiri," katanya memberi petanda buruk buat Pakatan Rakyat di PRK Permatang Pauh kali ini. -Kedahnews.com