SEBAHAGIAN peserta membuat provokasi dengan membakar bom asap sebagai tanda bantah sempena Perhimpunan Bantah Cukai Barangan dan Perkhimatan (GST) di Dataran Merdeka. - BH Online |
KUALA LUMPUR – Perhimpunan Bantah GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan)
di ibu negara hari ini gagal mencapai sasaran satu juta peserta
sebagaimana disasarkan oleh penganjur setakat pukul 4 petang ini, dengan
kira-kira 10,000 orang atau satu peratus dari jumlah disasarkan
menyertai perhimpunan itu.
Yang jelas perhimpunan sejak pukul 2.30 petang itu telah menyebabkan
kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi penting di sekitar pusat bandar
selain mengganggu urusan seharian masyarakat termasuk pelancong.
Peserta mula berkumpul di sekitar pusat membeli-belah Sogo, Masjid
Negara, Masjid Jamek, Dataran Maybank, Pasar Seni dan Puduraya sebelum
bergerak ke Dataran Merdeka dan KLCC.
Ada juga peserta perhimpunan yang merempuh penghadang yang diletakkan
pasukan keselamatan di Dataran Merdeka, selain terdapat peserta yang
melemparkan bom asap ke arah pintu kaca sebuah bank di kawasan Masjid
Jamek.
Ada juga peserta yang berpakaian hitam mencetuskan kekecohan dengan
melempar mercun bola dan kata-kata kesat tetapi pihak polis berjaya
mengawal keadaan.
Menurut jurucakap trafik Kuala Lumpur, setakat ini keadaan masih
terkawal dengan pemantauan turut dilakukan melalui helikopter Polis
Diraja Malaysia. Kebanyakan peserta mengenakan t-shirt merah yang
tertera slogan membantah pelaksaanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
yang bermula 1 April lepas.
Beberapa pemimpin pembangkang dilihat menyampaikan ucapan di beberapa lokasi terlibat. – BERNAMA