12 PATI, Seorang Lagi Dalang Dicekup PDRM Kedah

JITRA - Tindakan seorang lelaki membawa 12 pendatang asing tanpa  izin (Pati) menggunakan sebuah kereta disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan migran berjaya dihidu polis dalam satu kejadian, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, sepasukan Unit Rondaan Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan di Simpang Tiga Binjal, di sini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, lelaki berkenaan bertindak memecut kenderaannya untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, menurutnya, Unit Rondaan MPV berjaya menahan kenderaan suspek di Kampung Darat, Changloon.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, penumpang kereta itu terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar manakala pemandunya seorang lelaki tempatan.

“Siasatan terhadap kesemua warga asing itu mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Dialog Bersama Masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam di Dewan IPD Kubang Pasu, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah.

Zamri berkata, susulan kejadian itu pihaknya menahan kesemua Pati yang berusia antara 10 hingga 35 tahun untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Kodiang itu mengambil upah daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Abang Ismail mengarahkannya menghantar  Pati tersebut ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 26 (A) Akta Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan seramai 67 Pati ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 ketika cuba masuk ke negara ini melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Zamri berkata, ketika kejadian kesemua Pati warga Myanmar itu keluar dari sempadan Thailand menuju ke kawasan check point C untuk masuk ke Malaysia.

Katanya, Pati tersebut terdiri daripada 57 lelaki dan lapan wanita serta dua kanak-kanak perempuan malah kesemua mereka berusia antara setahun hingga 50 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua mereka dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut, manakala siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Sumber: Sinar Harian