Pekerja lombong mengangkat beg pasir untuk menghalang runtuhan ketika proses mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap. - Foto REUTERS |
BOGOTA – Sekurang-kurangnya 15 orang terperangkap apabila lombong
emas tidak berlesen runtuh di barat Colombia, kata pihak berkuasa.
Anggota pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mengeluarkan mereka.
“Lombong emas itu runtuh selepas banjir berpunca daripada lubang yang
dikorek untuk mengeluarkan emas. Sekurang-kurangnya 15 orang
terperangkap,” kata wakil agensi kecemasan UNGRD, Luis Pineros.
“Kami dalam proses mencari dan menyelamat,” katanya.
Seramai 50 anggota penyelamat dan perubatan berada di tempat kejadian.
Insiden berlaku di kawasan penduduk asli di daerah Riosucio.
Komander Jabatan Polis Caldas, Luis Duarte berkata, sebahagian
pelombong terperangkap pada kedalaman kira-kira 17 meter dan selebihnya
pada 10 meter.
Sehubungan itu, Agensi Perlombongan Negara (ANM) berkata, anggota
bomba melaporkan gas di dalam terowong lombong mungkin menyebabkan
runtuhan.
Perniagaan meningkat sejak beberapa dekad lalu di kalangan pelombong
haram apabila harga emas meningkat daripada AS$400 kepada hampir
AS$1,200 seaun.
Berdasarkan perangkaan kerajaan, Colombia adalah pengeluar emas utama dengan hasil lebih 55,000 kilogram pada 2013. – AFP