17 Individu Ditahan Bukti IS Semakin Mengancam Malaysia


ALOR SETAR – Penahanan 17 lelaki dipercayai merancang menyerang beberapa lokasi dalam negara baru-baru ini merupakan petanda jelas menunjukkan ancaman kumpulan militan IS terhadap Malaysia kini telah meningkat ke tahap semakin serius dan berbahaya.

Dekan Pusat Pengajian Sekolah Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah berkata, penahanan itu menandakan status Malaysia di mata kumpulan IS telah berubah.

“Penahanan 17 orang itu membuktikan Malaysia bukan lagi sebuah negara transit bagi militan-militan IS ini, tetapi ia kini merupakan negara sasaran oleh anggota kumpulan militan terbabit.

“Ancaman kumpulan militan IS terhadap negara ini adalah sesuatu yang benar dan bukan permainan politik sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu,” katanya kepada Bernama semalam.

Mohd Kamarulnizam berkata, apa yang pasti ancaman oleh militan IS terhadap Malaysia adalah jauh lebih merbahaya jika dibandingkan dengan ancaman keselamatan daripada Jemaah Islamiyah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

“IS lebih berbahaya daripada JI dan KMM,” kata ahli akademik yang mempunyai pengkhususan di dalam isu-isu keganasan, keganasan politik dan militan Islam.

Berlainan dengan JI dan KMM yang menjadikan kepentingan Amerika Syarikat dan negara-negara Barat sebagai sasaran, IS kata beliau, lebih tertumpu pada serangan terhadap negara yang tidak mengamalkan undang-undang Syariah.

Pada 5 April lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan kejayaan polis menahan 17 disyaki anggota militan IS di ibu negara dan Kedah yang merancang melakukan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang.

Mereka yang ditahan oleh Bahagian Counter-Terrorism, Cawangan Khas Polis menurut beliau, turut merancang menculik orang kenamaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berkata, kumpulan militan itu turut merancang membuat bom yang akan digunakan dalam serangan itu.

Sejak 2013, polis telah menahan 93 suspek yang dipercayai cuba menyertai kumpulan militan IS itu, manakala 63 pula dikesan telah berada di Syria untuk berjuang bersama kumpulan militan itu.

Mohd Kamarulnizam berkata, sel-sel militan IS yang bergerak dalam negara bergerak secara sendirian dan bebas daripada satu sama lain, walaupun menerima arahan yang sama.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta masyarakat memandang serius tentang ancaman kumpulan militan IS dan mahukan semua pihak mengetepikan perbezaan fahaman politik masing-masing di dalam menangani ancaman itu.

Beliau berkata, kesukaran sesetengah pihak mempercayai keseriusan ancaman militan IS di Malaysia berkemungkinan berpunca daripada kekurangan maklumat terperinci tentang operasi pihak berkuasa terhadap kumpulan terbabit.

Bagaimanapun katanya, pihak terbabit perlu memahami maklumat perisikan adalah amat sensitif dan sebarang kebocoran maklumat boleh memudaratkan operasi membanteras kegiatan pengganas.

“Operasi anti-penganas adalah di atas dasar ‘pre-emptiveness’, bertujuan membanteras sebelum ianya berlaku. Janganlah kita hanya percaya (tentang kewujudan ancaman IS) selepas berlakunya serangan pengganas,” katanya.

Mohd Kamarulnizam turut meminta pihak berkuasa mengawasi “lorong-lorong tikus” di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand yang berpotensi dijadikan laluan keluar masuk militan IS terbabit ke negara ini. – BERNAMA