ALOR SETAR - Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy menegaskan pihaknya amat berharap untuk berdepan dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sekaligus memberi keterangan berkenaan isu yang melanda GLC berkenaan.
Arul berkata, pihaknya turut berharap supaya diberi peluang oleh semua pihak untuk menjelaskan kedudukan sebenar mengenai 1MDB kepada jawatankuasa tersebut bagi menamatkan tohmahan dan spekulasi negatif yang dicetus pihak tertentu sebelum ini.
"Tarikh baharu bagi prosiding pendengaran sedang ditetapkan dengan PAC.
Kami sekali lagi mengulangi hasrat kami untuk memberi kerjasama penuh
kepada PAC.
"Kami berharap untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu dan mempunyai peluang untuk menjelaskan kedudukan 1MDB," kata Arul yang baru bertugas di 1MDB pada Januari tahun ini.
"Kami berharap untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu dan mempunyai peluang untuk menjelaskan kedudukan 1MDB," kata Arul yang baru bertugas di 1MDB pada Januari tahun ini.
Selain itu, Arul turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan lari dari prosiding PAC, sekaligus menafikan dakwaan kononnya beliau cuba melarikan diri dari jawatankuasa berkenaan.
Pun begitu, Presiden 1MDB itu menjelaskan bahawa surat dari PAC untuk hadir prosiding berkenaan hanya diterima pada 21 Mei lalu menerusi Kementerian Kewangan yang meminta mereka untuk berdepan jawatankuasa tersebut pada 26 Mei (semalam).
Walau bagaimanapun, prosiding yang melibatkan pengurusan tertinggi 1MDB yang dijadualkan
berlangsung semalam itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu susulan kedua-dua orang
pentingnya mempunyai urusan di luar negara yang difahamkan telah direncana sebelum tarikh berkenaan ditetapkan.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebaliknya enggan menerima alasan itu dan penangguhan tersebut sengaja digembar-gemburkan pihak parti pembangkang sebagai usaha melarikan diri dari prosiding dipercayai bagi mencetus persepsi lebih negatif terhadap 1MDB. -Kedahnews.com