Flyod Mayweather Junior dan Manny Pacquiao |
WASHINGTON DC – Nampaknya aksi tinju
perlawanan ‘mega abad ini’ antara Flyod Mayweather Junior dengan Manny
Pacquiao yang sudah pun berakhir di gelanggang bakal diteruskan lagi;
tetapi kali ini pula di mahkamah.
Kes pertama melibatkan Pacquiao apabila dia serta
pengurus dan pasukan promosinya berdepan dengan satu saman daripada dua
orang penduduk Las Vegas, Nevada pada Rabu yang berjumlah AS$5 juta
(RM18 juta).
Mereka menuduh pasukan Pacquiao mengetahui mengenai
kecederaan di bahu petinju Filipina itu sebelum perlawanan berlangsung
pada Ahad lalu menentang lawannya dari Amerika Syarikat (AS) yang
berjaya menang.
Namun pasukan Pacquiao, 36 tahun; didakwa tidak
mendedahkan hal sebenar itu kepada Suruhanjaya Atletik Nevada sedangkan
ia patut dilakukan di bawah peraturan sukan yang ditetapkan kerajaan
negeri berkenaan.
Pacquiao juga didakwa merahsiakan masalah
kecederaan itu sekali gus memperdaya peminat yang terus membeli tiket
perlawanan, atau membuat langganan stesen televisyen berbayar selain
sanggup membuat taruhan judi.
Selepas kecundang kepada Mayweather, 38 tahun;
Pacquiao mendedahkan bahawa para doktor mengesahkan dia kononnya sihat
untuk bertanding, namun dia tidak dibenarkan mengambil ubat tahan sakit
sebelum perlawanan.
Kes kedua pula melibatkan Maywether apabila juara
yang tidak pernah tewas sepanjang 48 pertarungan sepanjang kariernya
akan berdepan tuntutan saman AS$20 juta (RM72 juta) daripada bekas
kekasihnya, Josie Harris.
Wanita kepada tiga anak luar nikah Maywether itu
mendakwa lelaki tersebut berbohong dalam satu wawancara dengan Katie
Couric dari Yahoo! kononnya Josie dipengaruhi dadah ketika mereka bergaduh besar pada 2010.
Sebaliknya dia mendakwa Mayweather yang mula
memukul dan menendangnya di rumahnya sendiri sebelum bertindak lebih
ganas apabila menyeret dirinya di hadapan anak-anak mereka tanpa
perasaan belas kasihan.
Ironi dalam temubual Yahoo! itu, Mayweather
berulang kali menafikan pernah bertindak keras terhadap mantan teman
wanitanya sebaliknya menuduh Josie sebagai pemabuk dan dipengaruhi
dengan ubat-ubatan narkotik.
“Apakah saya pernah tendang dan pukul seseorang?
Tidak pernah! Jika ada kata itu kekerasan rumah tangga, saya bersalah
kerana cuba mengendalikan seseorang yang mabuk,” ujar Mayweather dalam
sesi wawancara tersebut.
Josie memfailkan tuntutan di sebuah mahkamah Los
Angeles, California kelmarin dan dalam afidavit saman itu, dia
menyatakan terpaksa menjalani rawatan di hospital termasuk jahitan di
muka serta cedera di kepala. – Agensi