22 PDK Pulau Pinang Terima Geran RM5.8 Juta

PERMATANG PAUH - Sebanyak 22 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Pulau Pinang semalam menerima geran melibatkan perbelanjaan RM5.8 juta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha memastikan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat pembelaan.
  
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, peruntukan itu jelas membuktikan kerajaan komited dalam membantu golongan OKU memaksimumkan potensi diri, termasuk menyediakan perkhidmatan penjagaan, latihan dan pemulihan kepada pelatih PDK.
  
Beliau berkata, sokongan dan bantuan semua pihak pastinya akan membantu meningkatkan perkhidmatan dan peranan PDK pada masa depan di samping memberi suntikan semangat kepada insan istimewa itu untuk terus hidup berdikari.
  
Berucap merasmikan Program Mini Karnival OKU peringkat negeri Pulau Pinang di Permatang Rawa dekat sini hari ini, beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan terhadap insan OKU dengan mengenal pasti bilangan sebenar OKU menerusi pendaftaran OKU di negara ini.
  
"Data ini mustahak bagi membolehkan kerajaan merancang program pemulihan, latihan, pendidikan, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan sesuai mengikut keperluan OKU," katanya.

Rohani berkata, berdasarkan statistik Sistem Maklumat OKU (SMOKU), sejumlah 336,960 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 28 April lalu dan jumlah itu bersamaan dengan 1.1 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.
  
"Daripada jumlah itu 20,051 adalah jumlah OKU di Pulau Pinang terdiri daripada 1,836 OKU pendengaran, 2,096 OKU penglihatan, 68 OKU pertuturan, fizikal (7,999), pembelajaran (6,101), mental (1,226) dan OKU pelbagai 725 orang," katanya.
  
Selain itu, Rohani turut mengingatkan ibu bapa yang memiliki anak kurang upaya supaya mendaftar dengan JKM untuk memperoleh kad OKU yang membolehkan golongan itu menikmati pelbagai kemudahan dan keistimewaan seperti diskaun tambang pengangkutan awam dan pengecualian bayaran rawatan perubatan.
  
Rohani turut menitipkan nasihat kepada ibu bapa yang dikurniakan anak OKU agar tidak malu dengan anugerah anak istimewa tersebut dan sentiasa menjaga amanah Allah itu sebaiknya.
  
"Saya sedar mungkin masih ada yang berpersepsi sebaliknya dengan malu untuk menonjolkan anak OKU ini, malah ada yang sampai tahap mengunci anak itu di bilik berasingan, Saya harap tidak ada lagi sifat sedemikian, banggalah apabila kita miliki anak OKU ini, ia anugerah Allah yang tidak terhingga kepada kita," katanya. - Bernama