24 Pelajar Sekolah Di Padang Terap Disyaki Terlibat Dadah

Anggota penguatkuasa menjalankan pemeriksaan dalam beg pelajar.
KUALA NERANG - Seramai 24 pelajar sekolah menengah sekitar Padang Terap yang disyaki terbabit dengan salah guna dadah dan menghadapi masalah disiplin dibawa ke Kem Sayangi Hidup Elak Derita (Shield) di Pendang Lake Resort.

Pegawai Unit Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap, Mohd Nizam Ismail berkata, daripada sembilan sekolah menengah yang terdapat di daerah itu, tujuh sekolah dalam kalangan pelajarnya terbabit dadah.

"Hasil saringan air kencing mendapati kebanyakan pelajar terbabit disyaki menggunakan methamphetamine dan morfin. 

"Mereka yang terlibat dikatakan belum pernah terbabit dalam aktiviti penagihan dadah," katanya.

Menurutnya, pelajar terbabit dihimpunkan sebagai melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah Peringkat Sekolah Menengah yang diadakan setiap tahun.

“Program ini dilakukan dengan kerjasama AADK Padang Terap bersama Pejabat Daerah Pendidikan Padang Terap yang memeriksa pelajar secara rambang.

"Pelajar yang bermasalah itu akan dibawa ke Kem Shield sebagai usaha memberi pengetahuan, kefahaman dan kesedaran mengenai bahaya salah guna dadah.

Beliau berkata, program itu akan mengenal pasti pelajar yang berisiko tinggi untuk mengikuti program intervensi tiga hari dua malam berkenaan.

"Melalui program ini, kita dapat mengesan anak muda kebanyakannya tingkatan dua hingga lima yang terbabit salah guna dadah.

"Diharap, ia dapat membantu AADK dan pejabat pendidikan membasmi penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar yang baru berjinak-jinak sebelum menjadi lebih serius," katanya.

Sumber: Sinar Harian