PERMATANG PAUH – Tiga buah kereta polis dirosakkan dalam kejadian
provokasi dipercayai oleh penyokong sebuah parti politik, di Sekolah
Kebangsaan (SK) Bukit Indera Muda di sini malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kejadian
itu berlaku ketika Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
sepasukan polis sedang menjalankan pemeriksaan bagi mengelak sebarang
kejadian yang tidak diingini pada pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Permatang Pauh, hari ini.
“Tindakan provokasi itu sepatutnya tidak berlaku kerana semua pihak
sudah maklum dengan SOP (prosedur operasi standard) pihak polis yang
memang menjalankan pemeriksaan di setiap pusat mengundi sebelum hari
pengundian.
“Semasa kejadian itu, kumpulan Unit Pemusnah Bom PDRM sedang
menjalankan tugas ‘flushing’ dan memeriksa serta memastikan pusat
mengundi berkenaan selamat digunakan.
“Mereka (penyokong parti itu) bertindak mengepung kawasan berkenaan
dan menutup pagar sekolah serta merosakkan kereta polis sehingga cermin
pecah dan kenderaan kemek,” katanya kepada pemberita selepas meninjau
pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu di sini
hari ini.
Abdul Rahim berkata ketika kejadian, tiada sesiapa mengalami
kecederaan kerana polis dapat mengawal keadaan dengan berbincang
bersama beberapa pemimpin parti politik berkenaan, yang berada di lokasi
kejadian.
Katanya polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kejadian itu
mengikut Kanun Keseksaan kerana pertama menghalang tugas penjawat awam,
merusuh dan kerana melakukan khianat.
“Selain SK Bukit Indera Muda, dua lagi pusat mengundi turut diganggu
kumpulan itu dalam kejadian semalam namun polis berjaya mengawal
keadaan,” katanya.
Beliau meminta para penyokong parti tidak menimbulkan sebarang
provokasi kepada polis kerana pihaknya menjalankan tugas menjaga
keamanan dan ketenteraman awam di kawasan tempat mengundi.
“Penyokong parti berkenaan menimbulkan provokasi supaya pihak polis
bertindak ke atas mereka bagi membolehkan keadaan menjadi huru hara.
Bagaimanapun, kami mengambil pendekatan berbincang dalam usaha meredakan keadaan,” katanya.
Dalam kejadian malam tadi, sekumpulan anggota Unit Pemusnah Bom PDRM
dikepung sekurang-kurangnya 300 penyokong sebuah parti politik di
hadapan pagar sekolah berkenaan.
Difahamkan, para penyokong berkenaan bertindak menghalang laluan
keluar sekolah itu dengan meletakkan kereta mereka di hadapan pagar
menyebabkan kesemua anggota PDRM terperangkap di dalam sekolah.
Kejadian dipercayai berpunca apabila sekumpulan penyokong itu
bertindak mengganggu tugas PDRM di situ dengan mendakwa sedang
menghantar kertas undi tipu sehingga berlaku salah faham dan kekasaran,
namun ia dapat dikawal polis beberapa jam kemudian.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata sebanyak 112 laporan polis
berkaitan kesalahan pilihan raya diterima sejak hari penamaan calon pada
25 April lepas hingga awal hari ini dan polis membuka 12 kertas
siasatan.
“Sehingga pukul 10.30 pagi, proses pengundian berjalan lancar dan
saya juga telah mengarahkan anggota bertugas untuk menjarakkan kedudukan
penyokong parti (yang bertanding) di kawasan pusat mengundi bagi
mengelak berlaku provokasi antara mereka,” katanya.
PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru
antara Suhaimi Sabudin (calon Barisan Nasional), Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail (Parti Keadilan Rakyat), Azman Shah Othman (Parti
Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim
hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat
dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun. – BERNAMA