IPOH – Sebanyak 57,598 syarikat yang mendaftar cukai barang dan
perkhidmatan (GST) memfailkan tuntutan bayaran balik bagi bulan pertama
setakat ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah.
Beliau berkata, syarikat yang ingin mendapatkan bayaran balik perlu
memfailkan tuntutan selewat-lewatnya esok dan sekiranya gagal, Jabatan
Kastam Diraja Malaysia akan mengeluarkan notis peringatan kepada mereka.
“Setakat ini, sebanyak 379,086 syarikat mendaftar dengan GST dan
daripada jumlah itu, bagi bulan pertama, sebanyak 75,000 syarikat perlu
memfailkan tuntuan balik GST. Setakat ini 57,598 syarikat telah
memfailkan tuntutan itu.
“Saya berharap syarikat yang belum memfailkan pembayaran balik GST
akan dapat memfailkannya esok,” katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Beliau berkata, demikian selepas menyampaikan peruntukan keseluruhan
sebanyak RM438,000 kepada 44 badan bukan kerajaan serta Persatuan Ibu
Bapa dan Guru di sini.
Ahmad Husni berkata, apabila tuntutan difailkan, pihak
bertanggungjawab ke atas pencukaian tersebut boleh mengenal pasti sama
ada syarikat mengikut kaedah sebenar atau sebaliknya.
“Kita akan menyemak kos pengeluaran dengan margin sesebuah syarikat
itu selepas syarikat memfailkan tuntutan bayaran balik GST,” katanya.
Beliau berkata syarikat yang mendaftar GST perlu memfailkan tuntutan pembayaran balik pada setiap bulan. – BERNAMA