6 Individu Enggan Bersurai Himpunan Bantah GST Dikenakan Waran Tangkap

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap enam tertuduh yang tidak hadir di mahkamah hari ini bagi menghadapi pertuduhan enggan bersurai ketika membuat bantahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada Mac lalu.

Hakim Azhaniz Azman Teh memerintahkan waran tangkap itu dikeluarkan terhadap S. Haarthi, 21, Mohd Faizal Mohd Sabri, 32, Afzanizam Hashim, 39, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, 21, Abdul Kudus Halim, 43, dan E. Sarawanen, 43.

Azhaniz sebelum itu menolak alasan yang diberikan peguam masing-masing kerana berpendapat mahkamah telah menetapkan hari ini untuk sebutan yang mewajibkan kesemua tertuduh hadir.

Enam tertuduh tersebut merupakan sebahagian daripada 79 individu yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan tidak mematuhi arahan untuk bersurai yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21(1)(d) Akta Perhimpunan Aman 2012 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan SS 6/3 Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada 5 petang, 23 Mac lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 21(3) akta yang sama yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Azhaniz kemudiannya menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Antara yang dituduh termasuk dua Anggota Parlimen iaitu Dr Mohd Hatta Md Ramli, 58, (Kuala Krai) dan Michael Jeyakumar Devaraj, 59, (Sungai Siput).

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan pihak pembelaan diketuai peguam Roger Chan. – BERNAMA