KANGAR – Kira-kira enam laluan tikus dikesan di sekitar sempadan
Malaysia-Thailand di Perlis yang dipercayai digunakan sindiket
pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Syed Omar Nor
Mahizan Kasim berkata laluan tersebut telah diguna pakai ejen sindiket
untuk pemerdagangan manusia yang dipercayai wujud sejak lebih 10 tahun
lepas.
“Laluan merentasi sempadan Malaysia-Thailand ini telah disalah guna
pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan sindiket yang asalnya
digunakan oleh penduduk tempatan berikutan perhubungan persaudaraan
ketika itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Antara laluan pintas bagi merentasi sempadan adalah Felcra Lubuk
Sireh, Felda Mata Ayer, Ladang Tebu Chuping, Wang Kelian dan Kampung
Syed Omar/Kampung Puju dan Bukit Batu Putih.
Tidak menafikan kekurangan kawalan keselamatan di sempadan, Nor
Mahizan bagaimanapun berkata kekurangan itu bukan kelemahan pihak
berkuasa tetapi kelonggaran yang diberikan atas faktor talian
persaudaraan yang akrab antara kedua-dua negara.
“Bukan sahaja perhubungan antara penduduk tempatan dan warga Thailand
tetapi juga perniagaan yang diusahakan penduduk kedua-dua negara di
kawasan sempadan, jadi kelonggaran itu diberi.
“Namun pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan
terhadap kelonggaran itu dan menjalankan sindiket pemerdagangan manusia
yang kejam,” jelasnya.
Nor Mahizan berkata laluan sulit di Kampung Syed Omar-Kampung Puju di
Thailand adalah antara laluan digemari sindiket penyeludupan manusia
sekitar tahun 1980-an.
“Laluan pintas merentasi sempadan itu adalah antara yang popular
ketika itu ekoran keadaan pokok bakau yang tebal dan kebanyakan penduduk
kampung memiliki dusun di situ.
“Jadi kawalan di situ memang tidak seketat laluan lain kerana
kelonggaran diberikan kepada penduduk kampung yang memiliki dusun malah
ada antara dusun mereka terletak dalam sempadan Thailand,” katanya.
Menurutnya, laluan pintas itu juga antara laluan yang digunakan pada
tahun 1970-an untuk penyeludupan binatang ternakan yang ketika itu
Malaysia amat ketat dalam keselamatan makanan import.- BERNAMA