600 Agro Bazar Menjelang 2020

BUKIT MERTAJAM – Kerajaan menyasarkan untuk membuka 600 Agrobazaar Rakyat menjelang tahun 2020 bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos harian, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata konsep Agrobazaar Rakyat hampir sama dengan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu berbentuk outlet runcit atau pasar mini yang menawarkan barangan pada harga berpatutan.

Menurutnya Agrobazaar Rakyat lebih memfokuskan kepada perniagaan barangan segar seperti ikan, daging, ayam, sayur dan barangan keperluan harian lain.

“Selepas perasmian Agrobazaar Rakyat pertama di Bandar Indera Mahkota, Pahang, kita menyasarkan untuk mencapai 600 buah di seluruh negara menjelang 2020,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Pertanian di sini.

Katanya Agrobazaar Rakyat harus mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kandungan jualan daripada produk segar dengan 70 peratus daripadanya produk buatan bumiputera dan tempatan.

“Antara kelebihan Agrobazaar Rakyat ialah bekalan barangan segar yang diperoleh datang terus daripada sumber seperti petani, penternak, nelayan, usahawan dan sebagainya selaras dengan usaha kita dalam ‘jihad memerangi orang tengah’,” katanya.

Ismail Sabri turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk menghidupkan kembali budaya bertani untuk keperluan sendiri.

Katanya walaupun kebanyakan tanah pertanian banyak diberi kepada pembangunan namun rakyat harus menggunakan mana-mana tanah yang masih ada untuk menjalankan aktiviti pertanian.

“Sumber makanan negara selalunya tidak mencukupi untuk permintaan tempatan dan kerajaan terpaksa mengimport, jadi sekiranya rakyat dapat menanam untuk kegunaan sendiri, ini dapat mengurangkan jumlah import negara,” katanya.

Jelasnya, kerajaan terpaksa mengimport lebih 50 tan cili setiap minggu di mana 90 peratus cili tempatan diimport dari Thailand. – BERNAMA