Gunung Jerai |
ALOR SETAR – Tujuh pendaki yang terkandas di Gunung Jerai malam
semalam ditemui selamat dan dibawa turun dari gunung itu pagi tadi
dengan bantuan pasukan penyelamat.
Kesemua mangsa terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berumur
antara 20 dan 26 tahun itu memulakan pendakian dari Muzium Arkeologi
Lembah Bujang, Merbok pada 10 pagi semalam.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Mustaffa Kamal
Ahmad yang dihubungi berkata pasukan penyelamat menemui kesemua mereka
dalam keadaan keletihan.
“Mereka telah berhenti rehat di kawasan Kepala Angin, Gunung Jerai
dan semasa hendak meneruskan perjalanan salah seorang pendaki wanita
mengalami kekejangan di bahagian kaki dan tidak boleh meneruskan
pendakian,” katanya.
Berikutan itu, mereka katanya, telah terkandas di kawasan itu selama
lima jam, menyebabkan dua pendaki lelaki telah keluar ke jalan utama
berdekatan Telaga Tok Sheikh untuk meminta bantuan dari pihak pengurusan
hotel berdekatan.
Mustaffa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.15
malam semalam dan telah mengerahkan lapan anggota Balai Bomba dan
Penyelamat Sungai Petani serta dibantu lima anggota polis dan seorang
pengawas hutan.
Anggota pasukan mencari dan menyelamat terpaksa berjalan sejauh satu
kilometer dari jalan raya Gunung Jerai sebelum tiba di lokasi pendaki
terbabit pada kira-kira 3 pagi tadi, katanya.
Kesemua mangsa berjaya dibawa turun ke kaki gunung sebelum dibawa ke
Hospital Yan untuk rawatan lanjut dan operasi telah ditamatkan pada 3.53
pagi, katanya. – BERNAMA